6 FILEM KHAS HARI RAYA DI TV2 : I’M NOT SINGLE, IMPAK MAKSIMA, CUCI, CHERMIN, SUMOLAH DAN CONGKAK
Sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal diraikan tahun ini disemarakkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan bahang kemeriahan himpunan enam buah filem hebat pecah panggung menerusi slot Movie Khas Hari Raya yang dijamin memenuhi selera tontonan anda untuk lima hari berturut-turut bermula 20 hingga 24 September 2009 ini.
Menerusi Saluran Dunia Ria, TV2 menghidangkan enam filem hebat bermula I’m Not Single (20 September 2009, jam 2.30 petang), Impak Maksima (20 September 2009, jam 9.00 malam), Cuci (21 September 2009, jam 9.00 malam), Chermin (22 September 2009, jam 9.00 malam), Sumolah (23 September 2009, jam 9.00 malam) sebelum diakhiri Congkak (24 September 2009, jam 9.00 malam).
Bersiaran malam raya, I’m Not Single terbitan ke 25 MIG Production Sdn. Bhd. (Metrowealth) arahan Pierre Andre ini tampil mengisahkan Maya dan Adam yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana perancangan ibu bapa mereka. Walaupun saling membenci dan langsung tidak mempunyai rasa cinta, Adam dan maya tiada alasan untuk membantah kerana ia wasiat terakhir arwah neneknya. Maya sendiri mempunyai teman lelaki iaitu Dani. Apakah kesudahan perhubungan yang sememangnya tidak sehaluan itu? Filem ini menampilkan lakonan bersahaja Farid Kamil dan Lisa Surihani juga dibantu Awal Ashaari, Intan Ladyana, Datuk Jalaluddin Hasan, Fadilah Mansor dan Hafidzuddin Fazil.
Impak Maksima lakonan Awal Ashaari, Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Cat Farish, Opie Zami dan Dynas Mokhtar kemudiannya mengetengahkan watak Ayie penuntut di IPT gemar perlumbaan kereta haram. Ayie sering ditegur oleh abangnya, Johari bekas pelumba Rally profesional yang tidak mahu Ayie mengikut jejaknya. Ayie jatuh cinta dengan Eva Liana dan sejak itu kurang minat untuk berlumba dan melepak dengan rakan-rakan. Suatu hari Loyal didatangi Ray, seorang pusher dan terkenal dengan aktiviti haramnya ingin mencabar Ayie dalam satu perlumbaan tetapi ditolak Ayie. Tanpa pengetahuan Loyal, Amran telah menerima pelawaan Ray dengan mempertaruhkan wang sebanyak RM5,000.00. Sementara itu polis meminta Johari mengaturkan perlumbaan dengan Ray untuk menangkap Ray dan Johari telah meminta pertolongan Loyai untuk mengaturkannya. Johari yang sudah lama berhenti berlumba telah berlatih semula dengan bantuan Loyai. Adakah rancangan mereka untuk menangkap Ray berjaya?
Menyusul filem Cuci pula sebuah filem sulung arahan Hans Isaac dengan mengambil pemandangan yang mengagumkan di sekitar Kuala Lumpur, bukan untuk jenaka semata-mata, tetapi melihat tentang kisah empat pencuci tingkap Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie dan Hans Isaac dengan sudut kamera yang menarik dan mampu membuatkan anda tidak berganjak dari tempat duduk. Kelakar, menyentuh hati, dan penuh dengan aksi-aksi komedi dengan kemunculan bintang terkenal seperti Dato’ Rahim Razali sebagai ahli perniagaan yang berjaya dan juga bapa kepada CJ lakonan Erra Fazira. Malah sebuah filem yang penuh warna-warni, bekerja keras, dan penuh ceria serta cuba membawa mesej ‘Malaysia Boleh Lakukan Jika Mereka Mencuba’.Â
Untuk anda peminat setia filem seram usah ketinggalan menonton Chermin yang mendebarkan mengenai seorang perempuan yang rohnya terperangkap dengan dendam dalam sebuah cermin antik. Plot cerita ini bertumpu kepada Nasrin yang mengalami kecacatan pada mukanya akibat kemalangan jalan raya yang penuh misteri. Nasrin mendapati dirinya begitu tertarik kepada sebuah cermin antik warisan keluarga yang ditemui oleh ibunya. Akhirnya, Nasrin menjadi obses dengan cermin tersebut sehingga mengagumi roh cermin itu dalam usahanya mengembalikan kecantikan wajahnya. Harga yang harus dia bayar ialah memuaskan tuntutan cermin tersebut yang menuntut darah dan dendam. Apakah dia sanggup mengorbankan cinta demi keangkuhannya? Adakah dia mampu melihat ke dalam dirinya dan melihat kecantikan dalamannya? Atau apakah yang tercermin di hatinya adalah bayangan cermin itu? Chermin mengetengahkan pelakon Deanna Yusoff, Datin Natasha Hudson, Khatijah Tan, Farid Kamil dan Maimon Mutalib.
Kemudiannya anda diajak bergelak-ketawa dengan Sumolah, filem unik dan berbeza dengan filem garapan Afdlin Shauki sebelum ini.Filem yang dibuat di Jepun dan Malaysia ini telah menelan belanja sebanyak RM3 juta. Ianya menggabungkan elemen kebudayaan Malaysia dan negara matahari terbit khususnya sukan tradisi, Sumo. Untuk memahirkan para pelakon dengan sukan Sumo, mereka diberi latihan selama 2 bulan. Sumo-Lah mengisahkan tentang seorang lelaki Melayu, Ramlee (Afdlin) yang bekerja di sebuah restoran sushi di Malaysia dan dipaksa memasuki satu pertandingan sumo amatur. Filem ini dibuat berdasarkan sebuah cerita yang ditulis oleh penulis Jepun Michihiro Kubota yang telah meminta Afdlin untuk mengadaptasikan kisah itu dalam bentuk filem. Nantikan filem terbaru arahan Afdlin Shauki sekitar tahun 2007 lalu.
Sebagai penutup tirai filem-filem popular tayangan sempena Hari Raya ini disiarkan filem Congkak yang plotnya bermula apabila Kazman serta isterinya Sufiah mengambil keputusan bercuti bersama dua anaknya, Lisa dan Ely di sebuah banglo di tepi tasik. Kazman sudah berjanji dengan seorang kawannya untuk membeli banglo tersebut sebagai persinggahan semasa bercuti. Pelbagai peristiwa pelik berlaku sepanjang perjalan mereka termasuk kehilangan telefon bimbitnya. Setibanya mereka di banglo tersebut, peristiwa yang semakin pelik turut terjadi. Misteri congkak yang mengganggu ketenteraman mereka sekeluarga hingga memaksa Sufiah membuangnya ke dalam tasik. Semakin lama peristiwa yang berlaku semakin pelik dan menyeramkan sehingga pada malam ketiga kedua-dua anaknya telah hilang dan Sufiah didapati tidur di siling bilik.
Apakah sejarah sebenar banglo tersebut dan dapatkan Sufiah diselamatkan serta berjayakah Ely dan Lisa ditemui semula. Segalanya bakal terungkai dalam sebuah lagi filem seram terbitan Metrowealth (MIG) lakonan Nanu, Riezman Khuzaimi, M.Rajoli, Erin Malek dan Erynne Erynna ini.
Justeru usah lepaskan peluang sepanjang perayaan ini menyaksikan enam filem hebat I’m Not Single (20 September 2009, jam 2.30 petang), Impak Maksima (20 September 2009, jam 9.00 malam), Cuci (21 September 2009, jam 9.00 malam), Chermin (22 September 2009, jam 9.00 malam), Sumolah (23 September 2009, jam 9.00 malam) sebelum diakhiri Congkak (24 September 2009, jam 9.00 malam).