in ,

Ikut SOP Yang Ketat, Finalis Anugerah Juara Lagu 35 Mula Menjalani Ujian Calitan

Berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat, finalis dan petugas belakang tabir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 yang bakal disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 14 Mac ini, wajib menjalani ujian calitan.

Penerbit Eksekutif AJL 35, Nurhul Huda Khalid, berkata ujian saringan COVID-19 perlu dilakukan segera sebelum produksi dibenarkan memasuki Auditorium MBSA untuk membuat persiapan, minggu depan.

“Persiapan AJL35 sudah di peringkat akhir. Cuma apa yang merisaukan kami adalah semua individu yang terbabit pada malam kemuncak itu seperti finalis, artis dan kru, perlu menjalani ujian calitan.

“Selain mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), arahan ujian calitan ini dikeluarkan oleh pengurusan MBSA sebelum kami dibenarkan memasuki auditorium minggu depan.

“Justeru, kami perlu melakukan ujian itu selewat-lewatnya pada hujung minggu ini,”

ajl 35

Bagi memastikan persiapan acara anugerah itu lancar, Nurhul Huda berharap semua pihak dapat bekerjasama mematuhi arahan. Atas faktor keselamatan, buat kali pertama AJL35 disiarkan tanpa penonton .

Sebelum ini, episod ketiga, Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) dibatalkan pada saat akhir berikutan salah seorang peserta SFMM35 episod pertama, Alif Satar disahkan positif COVID-19.

Julung kali dianjurkan kita negara ‘berperang’ dengan virus berbahaya, Nurhul Huda menganggap AJL35 memberi cabaran tersendiri kepada finalis dan kru.

Selain itu, Nurhul Huda menyifatkan AJL kali ini memberi cabaran tersendiri kepada finalis dan kru produksi.

Selain perlu mengamalkan normal baharu yang agak asing, mereka terpaksa berdepan kekangan yang menguji kreativiti dalam menampilkan persembahan mantap.

“Kita semua tahu persembahan disajikan pada malam kemuncak lazimnya meriah dan memerlukan pembabitan ramai pihak seperti penari, penyanyi latar, pemuzik sampingan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, SOP tidak membenarkan kita menampilkan terlalu ramai orang di pentas kali ini.

“Pada malam itu, hanya enam orang dibenarkan berada di pentas untuk sesebuah persembahan. Ini bermakna, tiada lagi segerombolan penari yang mengiringi persembahan finalis biarpun ada peserta bercadang mengetengahkan konsep sebegitu,” katanya.

Nurhul Huda berkata, finalis tiada pilihan kecuali menterjemahkan kemeriahan persembahan tanpa terlalu ramai penari.

“Ini mungkin boleh dilakukan dengan bantuan visaul LED atau penggunaan props,” katanya.

Nurhul Huda menambah seperti tahun sebelumnya, AJL masih mengekalkan 10 juri terpilih untuk menilai lagu yang layak dijulang sebagai juara.

“Daripada jumlah ini, ada di antara mereka pernah menjadi juri pada peringkat separuh akhir dan muka baharu. Seperti yang pernah kita nyatakan, perubahan dalam panel juri adalah perkara biasa dan mengikut kesesuaian.

“Bukannya atas desakan atau tekanan sesiapa. Untuk peringkat akhir, setiap lagu akan melalui proses pra penjurian dan bukannya markah dikira semata-mata pada malam kemuncak.

“Disebabkan AJL yang sepatutnya berlangsung bulan lalu ditunda, juri ada banyak masa untuk buat penyelidikan dan menilai lagu dipertandingkan.

“Ini kerana pemarkahan bermula daripada sifar, bukannya diambil daripada peringkat separuh akhir,” katanya.

*Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SAJAT

Fadzil Zahari Pernah DM Teman Lelaki Sajat, Siap Tunjuk Isi Kandungan

Ismail Izzani Bakal Tampil dengan Album Sulung Tahun Ini