in

Iklan Raya RTM Menang Pertandingan Promo Musim Perayaan

Iklan “Ini… Baru…Raya!” RTM : Menang Pertandingan Promo Musim Perayaan Siaran TV 2014. Tinjauan online akhbar ‘The Star’ mula mewujudkan pertandingan tahunan dengan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memilih promo musim perayaan siaran TV mulai tahun 2001.

Bermula dari situ, menjadi satu “trend” setiap tahun kita menunggu iklan terbaik yang paling menyentuh hati dan perasaan rakyat Malaysia. Semenjak 2001 sehingga 2006 oleh Petronas dan menjadi satu penanda aras untuk rujukan penerbitan industri penyiaran.

iklan raya

Setiap tahun juga ianya menjadi satu cabaran bagi tenaga kreatif di Unit Promosi & Kreatif TV RTM untuk mempromosikan siaran khas RTM yang berkaitan dengan acara besar negara. Setiap kempen itu bukan sahaja perlu dihasilkan dengan rekaan siaran yang menarik tetapi perlu juga mempunyai mesej yang positif dan daya tarikan yang relevan kepada masyarakat masa kini.

Untuk Hari Raya tahun ini, dengan diketuai oleh Ketua Unit Promosi & Kreatif TV RTM, Encik Mohammad Yusari Ameer, satu kumpulan percambahan idea telah dibentuk dan di anggotai oleh ahli unit yang sama untuk memikirkan apakah pendekatan yang perlu diambil bagi penerbitan kempen ini.

Konsensus telah dicapai untuk mengambil pendekatan yang menyampaikan mesej supaya rakyat kembali kepada tradisi dan fitrah Hari Raya itu. Sudut yang dipilih adalah tentang penggunaan peralatan komunikasi pintar dan hubungan kekeluargaan semasa lebaran.

Jalan cerita telah ditentukan supaya mempunyai nilai humor, mendidik dan kemeriahan sambutan perayaan.

Cerita berkisar tentang suasana sebuah keluarga menjelang hari raya. Apabila berkumpul bersama, anak-anak lebih sibuk dengan peralatan elektronik masing – masing dan tidak menghiraukan kehadiran satu sama lain. Ini membuatkan bapa mereka marah dan memberi cabaran kepada mereka untuk mencari di sekeliling kampung beberapa keperluan memasak untuk jamuan raya. Jika tidak dapat, mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah.

Apabila semua keperluan berjaya dikumpul, mereka bersama – sama membanting tenaga untuk menyediakan masakan. Suasana ini menerbitkan kemesraan dan komunikasi ceria antara mereka. Dan inilah mesej yang ingin di sampaikan oleh si bapa, inilah yang sepatutnya dilakukan apabila bersama keluarga lebih – lebih lagi di hari yang menggembirakan ini. Sejurus itu bapa membuat ungkapan, “Ini…baru…raya!”.

Sahriyani binti Osing, penerbit di Unit Promo telah dilantik untuk menulis skrip dan mengarah video promosi kempen ini.

Pra-produksi termasuk ‘audition’ pelakon telah bermula seawal Jun 2014, diikuti dengan penggambaran yang dibuat selama 3 hari di Sekinchan, Selangor yang melibatkan 13 orang pelakon dan 15 krew penggambaran. Pasca produksi pula mengambil masa selama 14 hari untuk diselesaikan. Ini kerana bahan video tersebut diseragamkan juga penggunaanya untuk promosi rancangan dan media cetak. Semuanya selesai pada 10 Julai 2014.

Ternyata hasil usaha keras mereka ini membuahkan hasil. Jika sebelum ini nama-nama besar seperti PETRONAS, PERODUA, MAXIS dan TENAGA NASIONAL berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia melalui promo musim perayaan mereka, kali ini raykat Malaysia telah memilih promo TV “Ini Baru Raya” sebagai pemenang Pertandingan Promo Musim Perayaan Siaran TV 2014.

Penerimaan positif terhadap video ini secara tidak langsung memberi perspektif yang positif terhadap RTM dan mengundang penonton untuk menonton dan mendengar siaran TV dan Radio RTM. Ia juga memberi semangat dan insentif psikologi kepada tenaga kreatif Unit Promosi & Kreatif TV RTM untuk terus menghasilkan produk yang terbaik untuk RTM.

Semoga dengan kemenangan ini, akan memberi inspirasi kepada unit – unit penerbitan lain untuk menghasilkan sesuatu yang bernilai dan diterima oleh semua rakyat Malaysia. Seterusnya membantu RTM untuk mengekalkan kejuaraan ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Premiere The Maze Runner

Jom Join Peraduan Celcom ESCAPE Merdeka Video