Menjelang hari raya, pastinya ada yang menunggu iklan-iklan di kaca TV. Ya lah, beberapa tahun ini, kita disajikan dengan iklan yang pelbagai konsep yang ada kreativiti tersendiri. Yang penting, mesej yang ingin disampaikan itu kadang-kadang membuatkan kita merasai ekspresi rasa yang bervariasi. Contoh iklan terbaik ialah iklan dari Petronas. Ada iklan membuatkan kita rasa terharu, ada yang buat kita rasa sedih sampai mengalir mata… dan ada juga iklan yang buat kita rasa marah!
Pada hari Jumaat lalu, TV3 mula menyiarkan iklan promo Sinari Lebaran yang telah mendapat pelbagai pendapat dari penonton. Iklan ini dilihat mempunyai konsep yang berlainan dengan apa yang pernah disajikan sebelum ini. Beberapa imej dan konsep dilihat telah menyentuh sentimen agama termasuklah dikatakan iklan ini menyerupai sambutan hari Krismas dan beberapa imej lain juga dikenal pasti ianya seakan tidak perlu disiarkan.
Hari ini, pihak TV3 telah buat kenyataan memohon maaf secara terbuka
KENYATAAN MEMOHON MAAF DI ATAS PENYIARAN IKLAN RAYA TV3
PETALING JAYA, 6 September 2010 – Pihak TV3 memohon maaf di atas keterlanjuran di dalam menyiarkan iklan Hari Raya Aidilfitri di saluran kami pada hari Jumaat, 3 September 2010 yang lalu yang telah menyinggung perasaan orang ramai.
Berikutan maklumbalas yang diberi oleh penonton-penonton TV3 dan orang ramai yang kami terima pada hari Sabtu, 4 September 2010, kami telah mengambil tindakan segera dengan menghentikan penyiaran iklan tersebut dan memohon maaf secara terbuka menerusi siaran Buletin Utama pada hari yang sama.
Kami menghargai maklumbalas yang diterima daripada para penonton dan orang ramai. Justeru, langkah lebih perihatin akan kami ambil untuk mengelakkan daripada berulangnya perkara yang sama pada masa akan datang.