Ikhwan berkata dia yang pernah melalui stiuasi berkenaan berkata itu adalah lumrah dalam dunia penyiaran radio serta yakin bahawa rezeki lain yang akan datang.
Menurutnya lagi, pertukaran penyampai radio ini adalah perkara biasa dalam industri penyiaran radio dan urusan penamatan kontrak penyampai radio juga bergantung kepada pihak pengurusan tertinggi atas pelbagai sebab.
“Maksudnya ‘chill’ sahajalah. Rezeki kalau sudah sampai situ maksudnya Tuhan nak beri lebih baik. Saya tahu perkara ini sensitif, tapi saya tahu mereka yang terbabit dalam bidang penyiaran radio tahu caranya.
“Sebagai penyampai radio, kalau sudah berkhidmat dalam jangka masa panjang kita kenalah mengerti ada tempoh masa. Roti pun ada tarikh luput.
“Bila sudah terlalu lama, otak pun sudah tepu. Jadi, mungkin kena tukar tempat lain, tapi ia bergantung kepada stesen radio itu sendiri, mungkin ada masalah kerja, disiplin atau sebagainya. Jadi, ada banyak aspek,” katanya.
Sementara itu, Ikhwan tidak menafikan penyampai radio menerima bayaran tinggi seperti yang hangat diperkatakan di media sosial baru-baru ini.
“Mungkin ramai tidak tahu, dalam industri hiburan, penyampai radio menerima gaji tinggi. Secara jujurnya, dari zaman senior seperti Halim Othman dan Linda Onn, mereka terima gaji yang besar.
“Tapi kita kena tahu kenapa, ketika zaman mereka stesen radio adalah satu-satunya platform. Namun, sekarang ada banyak platform digital.
“Saya rasa mungkin sekarang sedikit berkurangan, tapi bergantung juga pada profil penyampai radio itu sendiri. Penyampai radio baharu mungkin murah, yang senior lama mungkin mahal,” katanya.