Pencarian jejaka tampan dan juga pakar manisan berkarisma sudah berakhir dengan mengumumkan Ikhwan (Muhammad Ikhwan bin Mustafar, 25 tahun) sebagai Hero Oven 2017 pada episod akhir yang telah bersiaran pada 27 Januari 2018! Selain trofi, Ikhwan juga membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 3000 dan barangan elektrik.
Ikhwan bersaing dengan Adam, Alex dan Amir di peringkat akhir untuk menyiapkan tiga peringkat manisan berdasarkan tema yang telah diberikan. Mereka perlu sediakan kek 2 tingkat (2 tier cake), menara macaron setinggi 40 cm (macaron tower) dan 3 jenis petit fours dalam tempoh 6 jam.
“Alhamdullilah dan saya sangat bersyukur atas kemenangan ini. Saya rasa cabaran paling besar ialah saya perlu melawan diri sendiri supaya menjadi yang terbaik. Saya sedar tidak mudah untuk melakukan 3 tugasan dalam masa 6 jam. Jadi, saya berlumba dengan masa. Tambahan lagi, saya bersaing dengan Alex, seorang cef pastri yang sentiasa ada idea untuk membuat apa jua manisan,” Ikhwan berkongsi momen indahnya selepas bergelar Hero Oven 2017.
“Perkara yang mendorong saya untuk tidak berputus asa ialah isteri saya sendiri. Dia banyak memberi sokongan serta ilmu dalam bidang pastri. Tidak lupa juga keluarga saya yang sentiasa memberi dorongan supaya saya terus berjaya mengejar impian dan cita-cita saya. Walaupun saya pernah berputus asa untuk tidak meneruskan peringkat akhir sebab cabaran yang diberikan bukan benda yang saya pernah buat tetapi dengan sokongan yang diberikan, saya teruskan perjuangan sehingga titik penamat. Terima kasih juga kepada kawan-kawan dan para peserta Hero Oven yang banyak membantu dan berkongsi ilmu. Untuk menghargai kebaikan yang diberikan, saya buat yang terbaik untuk setiap tugasan yang diberikan,’ tambah Ikhwan lagi.
Musim kedua ini masih mengetengahkan kaum Adam secara komersial sebagai pakar manisan dan terbuka kepada jejaka berperwatakan menarik yang berusia antara 20 hingga 35 tahun, mempunyai kemahiran untuk menyediakan pelbagai kek dan pastri dengan menggunakan oven dan petah bercakap.
Bermula dengan 12 peserta, hanya 4 peserta yang layak ke peringkat akhir selepas melalui pelbagai cabaran dalam 10 pusingan iaitu Adam (Muhammad Adam bin Mahamed Ismail, 27 tahun, Kelantan, bekerja sendiri), Alex (Chai Chee Hung, 26 tahun, Sabah, cef pastri), Amir (Amir Hamzah bin Mohamed, 31 tahun, Johor, perunding makanan) dan Ikhwan (Muhammad Ikhwan bin Mustafar, 25 tahun, Selangor, cef).
Hero Oven 2017 meraikan Ikhwan sebagai juara manakala Alex mendapat tempat kedua, diikuti dengan Adam di tempat ketiga dan Amir berada di tempat keempat. Dihoskan oleh Cef Fikree Aznan dan Cef Sarah Samsul Ariffin. Juri jemputan di pusingan akhir ialah dua pakar manisan terkenal iaitu Cef Jasman Saidin dan Cef Nazeri Ismail serta selebriti popular, Lana Nordin.
Jika anda terlepas menyaksikan Hero Oven 2017 di kaca televisyen, anda boleh menonton melalui saluran alternatif iaitu di portal video nombor Satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Gunakan hashtag #HeroOven2017 untuk menghangatkan perbualan di laman sosial.