Lebih panas apabila Hazelina atau Riena menerusi Instagram miliknya pada Isnin turut mendakwa kehidupan anaknya dikongkong seorang wanita.
Malah, Riena turut mendakwa penyanyi lagu Terlerai Sebuah Janji itu gagal dihubungi hingga mengganggu urusan berkaitan kariernya.
“Kalau dah tak nak jadi artis, sila buat pengumuman, jangan susahkan kami. Macam itulah kalau dah dikongkong. Panggilan tak angkat, wartawan dan stesen TV cari. Harap maklum pada yang berkenaan,” tulisnya.
Biarpun tidak menyebut nama namun status tersebut dipercayai ditujukan kepada anaknya iaitu Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri.
Usaha mStar untuk mendapatkan pengesahan dan kenyataan daripada Aiman sendiri gagal apabila penyanyi berusia 22 tahun itu enggan mengulas mengenai status yang dimuat naik ibunya.
Pada 5 Januari lalu, Riena ada memuat naik foto Aiman dengan kapsyen meluahkan rasa rindu dan sayang terhadap anak lelakinya itu.
“Dia tak rindu saya ke ya. Apa-apa pun, saya sayang dan rindu dia,” kata Hazelina.
Dalam pada itu, Hazelina menerusi Instastory turut memuat naik status amaran kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Fara Hanis atau Fewa.
“Fara Hanis (Fewa), aku tidak teragak-agak cari mak bapa kau, perempuan XXX!” tulisnya.
Riena dan suaminya iaitu Yusri Iskhak mempunyai 11 orang anak termasuklah Aiman dan penyanyi Fara Hezel.