in , ,

Temubual Eksklusif Bersama Hyunmin-A: K-Pop; Fenomena atau Trend?

Semenjak Budiey tukar imej baru sempena tahun baru 2018 dengan penampilan ala-ala jejaka Korea ni, rezeki Budiey semakin mencurah-curah nampaknya.

Terutama sekali dari segi sumbangan dan juga penajaan untuk melengkapkan penampilan Budiey dari hujung rambut ke hujung kepala. Walaupun mendapat sedikit kecaman di media sosial, Budiey tak sangka ramai yang menyarankan agar Budiey kekal dengan imej semacam ini kerana sesuai dengan raut wajah Budiey.

Budiey Korean K-Pop

Baru-baru ini, semasa buat liputan di Anugerah Juara Lagu Ke-32, Budiey menerima tajaan dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut Budiey distylokan oleh saloon terkemuka Shawn Cutler Bangsar, terima kasih kasih Gibson Loong. Manakala baju dan seluar lengkap dengan kemeja ditaja oleh jenama terkenal seluruh dunia, Sacoor Brothers dan kasut pula ditaja oleh Hilman Authentic yang berjaya membuatkan Budiey nampak lebih tinggi lampai 7cm! Terima kasih kepada semua dan terbaru, Budiey mendapat tajaan 5 pasang kasut dari Lan Baharin.

Ternyata, impak dan kesan dari menukar gaya ala jejaka Korea membuahkan hasil. Terima kasih kepada stylist yang telah memberikan cadangan serta saranan berguna untuk menukar imej dengan gaya yang lebih segar dan luar dari Budiey sebelum ini.

Cakap pasal K-Pop ni, Budiey ada berbual dengan seorang kenalan Budiey yang dulunya seorang wartawan sebuah portal dan kini berjaya menjadi penyanyi di Korea. Tidak lain dan bukan iaitu penyanyi Hyunmin A. Alang-alang berborak dengan Hyunmin A ni, Budiey pun menemubual penyanyi ini tentang dunia K-Pop semasa.

HYUNMIN-A

Budiey:  K-Pop adalah satu fenomena di Malaysia. Apa pendapat Hyunmin A apabila golongan remaja dikatakan antara paling ramai menggemari muzik K-Pop? Suka muziknya atau rupa penampilan artis K-Pop?

Sebagai anak Malaysia yang berpengalaman sebagai artis K-POP di Korea dan pernah menjadi salah seorang ahli kumpulan PLUS M, saya merasakan K-POP bukanlah satu fenomena di Malaysia. Sebaliknya ia adalah sebagai satu trend yang berubah mengikut masa dan keadaan. Malah, semakin lama saya dalam arena muzik K-POP sehingga kini, saya dapat lihat peminat muzik ini bukannya terdiri daripada golongan muda saja.

Secara jujur, baik di Malaysia mahu pun di Korea, golongan dewasa juga meminati muzik K-POP. Cuma genre K-POP yang diminati sedikit berbeza. Peminat muda lebih menonjol dan agresif berbanding yang dewasa. Sebab itulah, ramai melihat muzik ini hanya untuk orang muda. Tapi anda juga perlu tahu jenis muzik yang tergolong dari kategori K-POP. Apa yang boleh saya katakan, muzik Trot bukanlah muzik K-POP.

Dalam melandas tugas saya tatkala ini sebagai penyanyi dan duta kecil untuk Korea di Malaysia dan duta kecil Malaysia di Korea, saya mahu anda semua tahu bahawa peminat K-POP mempunyai 20 jenis. Saya telah berkongsi secara terperinci mengenai perkara ini dalam kolum saya KOREA BUZZ BY HYUNMIN-A.

Secara jujur, peminat K-POP baik muda atau pun dewasa menyukai muzik K-POP bukan kerana rupa semata-mata, sebaliknya mereka lebih suka dengan campuran intipati dalam muzik K-POP. Semangat kerjasama, persahabatan, kekeluargaan dalam muzik K-POP menjadi daya penarik untuk peminat menyukai K-POP. Malah, mereka juga tahu untuk menjadi artis K-POP amat sukar dan perlu menjalani pelbagai ujian dan cabaran.

Berbakat dan berupa bukan menjamin untuk individu bergelar bintang K-POP. Artis K-POP adalah satu produk. Oleh itu, apabila pelanggan (peminat) merasa produk berkenaan berbaloi dan wajar dibeli, jadi mereka akan mendapatkannya. Anda juga perlu tahu, bintang K-POP sebenarnya bukan saja terdiri dari golongan bawah 29 tahun tapi ada juga sudah mencecah umur 40 tahun pun masih aktif sebagai bintang K-POP. Kesimpulannya peminat K-POP suka kerana lagu, album, muzik video dan personaliti penyanyi yang ditampilkan.

Budiey: Apa pendapat Hyunmin A, tentang muzik K-pop ni, rasanya banyak negatif atau positif?

Secara jujur, isu berkaitan K-POP sering saja disalah tafsir. Sama ada positif mahu pun negatif, ia menjadi agenda tertentu kepada golongan yang menaikkan isu berkenaan. Memang banyak isu negatif yang dibualkan di Malaysia berbanding isu positif. Sebagai contoh isu bunuh diri yang berbangkit baru-baru ini di Malaysia.

Bagaimanapun adakah anda tahu, isu berkenaan sebenarnya membantu orang Malaysia lebih mengambil berat mengenai punca bunuh diri dan symptom yang mengundang perkara berkenaan. Ia juga menjadi negative apabila melibatkan soal agama.

Kalau benar K-POP ini membawa imej kurang elok dan mengancam agama Islam, kenapa saya masih lagi berdiri kukuh sebagai umat Islam. Sejujurnya, industri K-POP sedikit pun tidak pernah memaksa penggemarnya untuk membuat perkara negative. Segalanya tertakluk kepada pembawakan individu tersebut. Bagi saya, positif dan negative saling memerlukan untuk menghasilkan sesuatu yang neutral.

Budiey: Apa yang perlu ada dalam diri seorang artis kita agar setanding dengan artis Korea?

Artis K-POP dan artis yang menyanyi lagu bergenre K-POP adalah dua perkara yang berbeza. Untuk menjadi artis K-POP, anda perlu menjalani latihan yang disediakan paling kurang pun dalam 2 tahun ke atas di Korea dan mempunyai silibus rahsia. Manakala, artis yang menyanyi lagu bergenre K-POP lebih kepada menyanyi saja tetapi tidak menghadapi asam garam realiti industri hiburan di Korea.

Oleh itu, kalau benar artis yang menyanyi lagu bergenre K-POP mahu setanding dengan artis Korea, anda perlu tahu makna sebenar K-POP dan selalulah merujuk kepada pakar. Jangan pernah menilai atau kecam tanpa ketahui isi kandungan tersebut. Kalau ada peluang, belajarlah juga kehidupan dan nilai sebenar artis K-POP. Sejujurnya K-POP adalah satu profesi bukan hobi atau minat semata-mata.

Budiey: Apa kelebihan yang ada pada artis K-POp berbanding artis Malaysia

Terlalu banyak kelebihan artis K-POP berbanding artis Malaysia. Bagaimanapun, artis Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri tapi tidak universal. Apapun, ini 5 kelebihan artis K-POP.

1. Artis K-POP dijaga, dibelai, dikawal, ditentukan segalanya oleh pengurusan seperti satu produk yang dikilang yang kualitinya dikawal rapi sebelum dipasarkan.

2.Artis K-Pop bukan saja diminati dan disayangi di Korea malah diminati oleh banyak peminat di seluruh dunia.

3. Artis K-POP lebih fokus dan tahu apa yang dikehendaki dirinya serta diminta peminat.

4. Artis K-POP tidak pernah ada limit dalam berkarya dan sering update mengikut trend global.

5. Artis K-POP tidak semestinya berbangsa Korea sebaliknya mencampurkan segala bahan yang terbaik di seluruh dunia dan dibuat dalam acuan yang sama.

Budiey: Susah tak nak naikkan nama di Korea? Apa cabaran yang paling besar?

Pernah mengalami layanan double standard sebelum berubah imej namun segalanya bertambah baik selepas berjaya tempuhi cabaran dengan memenangi pelbagai pertandingan… saya pernah jatuh terduduk mendapat tahu pasangan duet mati dalam kemalangan pada tahun 2014 sehingga hampir jadual saya tergantung.

Budiey: Apa perkembangan terkini Hyunmin-A?

Saya masih lagi base di Korea, tapi ada di Malaysia sementara waktu untuk urusan dua hala korea dan malaysia. Perkembangan yang boleh saya kongsikan, saya baru sahaja tamat merakam lagu baru dengan kumpulan yang baru ditubuhkan dan dalam proses merakam lagu baru dari Hazami. InsyaAllah, saya akan rakam muzik video dengan kumpulan baru di malaysia untuk promosi malaysia kat Korea. Pada 17 Mac ni pula saya terlibat dengan fesyen show raya antara Malaysia dan Korea yang melibatkan saya, pelakon Korea dan bekas Miss korea yang kini menjadi pengacara tv di Korea.

Hyunmin-A K-Pop
Hyunmin-A K-Pop

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Dia Sudah Jumpa Yang Lebih Baik” – Intan Liyana

Peraduan Premiere With Budiey Menonton Filem RED SPARROW