Ramai yang tidak tahu bahawa sekiranya berpeluang ke Mauritius, para pelancong boleh juga meneroka salah sebuah pulau berdekatannya yang menajdi milik negara Perancis. Pulau yang dikenali sebagai Pulau Reunion itu merupakan salah satu daerah atau mukim di bawah jabatan lautan luar Perancis. (Selain tanah besar Perancis di Eropah, negara tersebut mempunyai beberapa jajahan di luar Eropah yang masih berada di bawah naungan serta pentadbiran Perancis). Malah Pulau Reunion juga lebih dikenali sebagai pulau di mana salah satu serpihan MH370 ditemui.
Dina Morgabine : Penginapan Praktikal di Pulau Reunion
Dan tersergam di kawasan atas bukit yang tidak berapa jauh dari salah satu kawasan pantai popular di Pulau Reunion, tersembunyi sebuah tempat yang sesuai buat menenangkan fikiran. Berlokasi di daerah La Saline Les Bains, Hotel Dina Morgabine tersenarai sebagai salah satu penginapan praktikal yang paling popular dan menarik di kawasan ini.
Dengan kedudukannya di bahagian yang lebih peribadi tetapi masih tidak jauh dari kesibukan dan pantai-pantai di daerah Hermitage serta Saint Gilles les Bains, ia menepati ajnas citarasa para pengunjung.
Dina Morgabine mempunyai 74 bilik penginapan dengan pelbagai konsep, seperti bilik dengan dapur kecil, bilik berkonsep pangsapuri, bilik untuk keluarga dan juga bilik biasa. Ia dilengkapi juga dengan kolam renang awam besar yang mempunyai pemandangan indah dari atas bukit. Hotel ini memenuhi kehendak setiap pengunjungnya yang ingin berehat di kawasan yang terpencil sambil menikmati kemewahan hidup yang lain. Bilik-biliknya yang berkonsepkan modern chic eksotik setanding dengan hotel-hotel ternama lain di serata dunia.
Dengan kawasan yang diasingkan dan agak ‘tersembunyi’ dari dunia luar yang lebih bising serta sibuk dengan hingar-bingar kota, Dina Morgabine juga sesuai buat mereka yang ingin meraikan acara-acara peribadi bersama keluarga atau rakan-rakan. Ini termasuklah pasangan yang ingin berbulan madu.
Selain daripada penyediaan sarapan, di kafe mereka, tamu juga boleh menikmati makanan tempatan dan antarabangsa sepanjang hari yang disediakan untuk para penghuni. Apatah lagi dengan suasana indah yang tidak terlalu sesak buat tamu, ia menjadikan hotel ini paling tepat buat mereka yang berkeluarga ataupun yang ingin berdua.
Selain itu para tamu juga boleh pergi berenang di lautan di pantai-pantai indah berdekatan dengan menyewa kereta.
Oleh kerana Pulau Reunion mempunyai komuniti Islam juga, para pengunjung yang beragama Islam tidak perlu risau tentang mencari makanan halal kerana terdapat banyak restoran tempatan yang halal di situ. Pendek kata, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini selain menghabiskan waktu di kolam renang peribadi anda.
Jadi jika anda ingin pergi merehatkan minda serta bercuti dan mahu meneroka jauh sedikit dari Malaysia, singgahlah ke Pulau Reunion dari Mauritius dan bermalamlah di Dina Morgabine. Perjalanannya sekitar 45 minit dari lapangan terbang Roland Garros dan anda tidak perlu bersusah-payah meredahi kesesakan lalu-lintas yang menggusarkan kerana sistem pengangkutannnya sangat teratur.
Dina Morgabine : Penginapan Praktikal di Pulau Reunion
oleh Shah Shamshiri