in

HOT FM Tetap Nombor Satu?

Hot FM pikat pendengar di bawah umur 35 tahun, terus dominasi pasaran di bandar utama seluruh negara

STESEN radio pertama milik Media Prima Berhad, Hot FM sekali lagi berjaya mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu negara bagi kategori pendengar di bawah lingkungan umur 35 tahun dan terus mendominasi pasaran bandar serta bandaraya utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh.

Ketika memulakan operasinya pada 2006, Hot FM hanya mempunyai sekitar 2.9 pendengar. Bagaimanapun stesen radio berkenaan terus memacu kejayaan dengan lajunya apabila laporan AC Nielsen baru-baru ini menunjukkan stesen itu didengari 3.7 juta pendengar. 

Selain kekal sebagai stesen radio nombor satu bagi pendengar di bawah lingkungan usia 35 tahun untuk kali kedua, segmen pagi AM Krew yang dikendalikan Faizal Ismail dan Fara Fauzana juga sekali lagi berjaya mengekalkan posisi sebagai rancangan pagi nombor satu Malaysia.

Sementara itu, tiga segmen lainnya turut unggul sebagai program nombor satu untuk kumpulan sasaran di bawah umur 30 tahun. Tiga segmen itu ialah Jawa Rangers kendalian AG dan Kieran, Hot FM Zone yang dikendalikan Anne serta Ikhwan dan Menu Muzik Hot FM kendalian Leya dan Tini.

Ketua Pegawai Operasinya, Seelan Paul berkata, Hot FM mempunyai pengkhususan pendengar. Justeru mereka perlu kembali kepada siapakah golongan sasaran stesen radio berkenaan.

“Kami tidak mampu memenuhi kehendak semua, sebaliknya sebuah stesen radio itu perlukan pengkhususan. Di Hot FM, kami mensasarkan kepada pendengar di bawah umur 35 tahun. Sejak hari pertama kami memulakan operasi itulah strategi yang disasarkan.

“Fokus utama kami untuk mencapai sasaran yang diletakkan dan strategi itu ternyata berhasil apabila dua kali berturut-turut Hot FM menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia di dalam lingkungan umur itu. Sebagai sebuah stesen yang masih baru, apa yang penting kepada kami apabila dapat mempertahankan kedudukan itu. Kami juga sentiasa memastikan Hot FM terus relevan di telinga pendengar. Bagi mencapai sasaran itu, Hot FM perlu ada evolusi dan sentiasa bersedia untuk perubahan,” katanya ketika ditemui.

Memastikan stesen radio Hot FM relevan, mereka tidak hanya fokus kepada pendengar sebaliknya turut memberi perhatian kepada senarai lagu diputarkan stesen radio berkenaan agar sesuai dengan cita rasa pendengar.

Berdasarkan perkembangan enam hingga lapan bulan kebelakangan ini, muzik indie menjadi trend pendengar masa kini. Sebagai memenuhi cita rasa pendengar itu, Hot FM memutarkan lagu indie dengan lebih kerap.

“Setiap dua minggu, kami akan membuat pemerhatian perkembangan semasa industri muzik tanah air. Saya sentiasa mengikatkan pasukan Hot FM, setiap hari adalah pertempuran. Untuk mendapatkan telinga pendengar bukannya mudah kerana mereka mempunyai pilihan lain selain radio iaitu menerusi televisyen, internet dan pelbagai gajet seperti ipod, Mp3 dan sebagainya. Bagi mencapai jumlah pendengar yang kami peroleh sekarang bukanlah mudah tetapi untuk sebuah stesen radio yang masih baru, kami tetap berbangga. Namun kami tidak boleh sentiasa berada di zon selesa kerana itulah perkara yang boleh menjatuhkan kami kelak,” katanya.

Dengan pencapaian Hot FM, Seelan tidak merasakan perlu berlaku perubahan kepada stesen berkenaan. Setakat ini, dia berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pasukan termasuk penyampai radio yang menjadi tunjang utama stesen itu.

Isi kandungan programnya juga menurut Seelan masih lagi sesuai, bagaimanapun perubahan untuk memantapkan kandungan akan tetap dibuat bagaimanapun bukan dalam tempoh terdekat sebaliknya antara sebulan atau dua dari sekarang.

“Setakat ini saya gembira dengan barisan penyampai yang ada di Hot FM. Saya sentiasa memegang kepada falsafah jika tidak rosak kenapa perlu diperbaiki, jadi saya tidak berasakan perlu ada angin perubahan di kalangan penyampai. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh tenaga kerja Hot FM di atas kerja keras mereka dan berterima kasih kepada pendengar yang menyokong Hot FM,” katanya.

Selain kejayaan Hot FM, kajian dikeluarkan AC Nielsen juga menunjukkan Rangkaian Radio Media Prima lain iaitu Fly FM dan One FM turut mencatatkan kedudukan yang kukuh dalam pasaran masing-masing. Fly FM menunjukkan kenaikan 70 peratus pendengar, sementara stesen radio bahasa Cina, One FM berjaya memenangi hati 300,000 pendengar dalam tempoh enam minggu bersiaran. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review X-Men Origins: Wolverine

Malaysian Dreamgirl 2 Crowns Winner