Ikon Bollywood Shah Rukh Khan (SRK) dan isterinya, Gauri Khan yang juga merupakan juruhias dalaman terkemuka secara rasminya telah menjadi hos Airbnb dengan menawarkan penginapan sekali seumur hidup di kediaman pasangan ini di Delhi. Bagi meraikan gaya pengenalan Shah Rukh Khan yang suka mendepakan tangannya selama lebih 30 tahun sebagai bintang ternama dalam industri Bollywood, kempen “Home with Open Arms” akan memberi penduduk di India peluang untuk menginap di kediaman mewah keluarga Khan.
Terletak di kejiranan Panchsheel Park di Selatan Delhi, kediaman keluarga Khan diberikan sentuhan gaya hiasan dalaman Gauri yang mesra lagi unik. Walaupun pasangan terkemuka ini menetap di Mumbai, kediaman mereka di Delhi kekal sebagai tempat yang istimewa dan penuh nostalgia kerana di sinilah mereka membesarkan ketiga-tiga cahaya mata mereka dan masih menggunakan rumah ini apabila singgah ke ibu kota. Kediaman keluarga Khan dipenuhi dengan pelbagai cenderahati dan kenang-kenangan perjalanan mereka ke serata dunia dan kediaman ini juga mencerminkan perjalanan Shah Rukh dan Gauri bersama-sama sebagai suami isteri, kemudian sebagai sebuah keluarga.
Bagaikan sebuah oasis yang tenang di kota Delhi yang sentiasa sibuk, kediaman keluarga Khan terserlah dengan warna-warna terang dan mesra, serta pencahayaan semula jadi dari tingkap banyaknya di samping koleksi seni yang mengagumkan. Dinding-dinding kediaman ini dihiasi tekstur mewah, bidai dan langsir yang berwarna-warni dan candelier berkilauan memancarkan sinar yang mempesonakan. Pintu-pintu reka bentuk Perancis yang tinggi dari lantai mencecah siling membuka ruang kepada taman yang luas dihiasi dengan bunga-bungaan berwarna-warni.
Namun demikian, elemen reka bentuk yang paling menarik ialah estetika peribadi yang merakamkan begitu banyak kenangan keluarga ini selama bertahun-tahun. Gambar-gambar dan perhiasan kecil menghiasi satu dinding di dalam bilik tidur utama – raket badminton pertama anak lelaki mereka, Aryan; berus solek dan kupu-kupu yang dikumpulkan oleh anak perempuan Suhana; hadiah hari lahir pertama anak lelaki Abram iaitu sikat dan cermin perak yang halus buatannya; negatif asal bagi filem kegemaran Shak Rukh Khan.
Sementara satu lagi dinding dihiasi kad buatan tangan kiriman antara Shah Rukh dengan Gauri semasa mereka mula menjalinkan hubungan percintaan. Semua sentuhan peribadi tersebutlah yang menjadikan rumah ini sangat mengalu-alukan dan terasa bagaikan di rumah sendiri.
Kempen “Home with Open Arms†akan menawarkan tetamu peluang yang jarang-jarang diperoleh untuk menghidupkan semula nostalgia pasangan bintang Bollywood ini. Dilancarkan pada 18 November, penduduk India boleh mencuba nasib untuk memenangi penginapan semalaman yang akan bermula pada 13 Februari 2021.
Pasangan pemenang akan melalui itinerari yang disusun atur oleh Gauri, menikmati hidangan sajian mewah makanan kegemaran keluarga Khan, menonton barisan filem kegemaran Shah Rukh Khan dan lagu-lagu box office selain menerima tanda mata peribadi daripada keluarga ini sebagai cenderamata untuk dibawa pulang.
Apabila memperkatakan tentang kota Delhi dan perkongsian mereka dengan Airbnb, Gauri dan Shah Rukh Khan berkata, “Bandar Delhi mempunyai tempat yang istimewa dalam hati kami dan akan sentiasa menjadi rumah kami. Setiap kunjungan mengimbau kembali kepada kenangan sewaktu kami baru bertapak dan kami begitu teruja dapat bekerjasama dengan Airbnb untuk tampil sebagai hos di kediaman kami di Delhi. Airbnb telah membuatkan kami berasa seperti berada di rumah sendiri sepanjang perjalanan kami di seluruh dunia dan kami teruja untuk membuka pintu kediaman kami sendiri melalui perkongsian eksklusif ini.â€
Mengulas tentang kempen ini, Amanpreet Singh Bajaj, Pengurus Besar – Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan berkata, “Airbnb menawarkan pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan untuk tetamu di seluruh dunia. Hari ini, kami teruja untuk bekerjasama dengan Gauri dan Shah Rukh Khan dalam kempen yang sangat istimewa yang menawarkan akses kepada kediaman mereka di Delhi dan julung-julung kali pernah dilakukan. Peminat berbilang generasi dan dari serata dunia telah lama mengikuti perjalanan pasangan Bollywood ikonik ini, dan peluang yang jarang-jarang wujud untuk dialu-alukan ke kediaman mereka hanya boleh dilakukan di Airbnb.â€
Bagaimanakah caranya menempah peluang sekali seumur hidup ini?
Rumah Gauri dan Shah Rukh Khan akan tersedia untuk penginapan semalaman pada 13 Februari 2021. Untuk memohon peluang julung-julung kali ini, Airbnb mengundang tetamu untuk berkongsi makna “open arms welcome†kepada mereka selewat-lewatnya pada 30 November 2020. Pemenang akan dipilih oleh jawatankuasa pemilihan termasuk Airbnb dan Gauri Khan, dan keputusan akan diumumkan pada 15 Disember 2020.
Pemenang akan menerima:
- Penginapan semalaman pada 13 Februari 2021, di kediaman Gauri dan Shah Rukh Khan di Panchsheel Park, Delhi untuk dua orang
- Kereta mewah untuk digunakan sepanjang penginapan, termasuk pengambilan dan penghantaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi atau lokasi lain di Delhi
- Nota alu-aluan peribadi daripada Gauri Khan
- Makan malam mewah hidangan kegemaran keluarga Khan
- Maraton menonton filem kegemaran Shah Rukh Khan
- Tanda mata peribadi daripada keluarga Khan sebagai cenderamata
Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari, www.airbnb.com/d/homewithopenarms