Peluang bekerjasama dengan penyanyi yang popular di peringkat antarabangsa ini memang menjadi idaman semua penerbit. Ianya direalisasikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program hiburan popular Hiburan Minggu Ini (HMI) bersama Yuna telah dijalankan bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri yang dinamakan ‘HMI Terbaik Yuna’.
Disiarkan pada 14 Mac ini, pukul 9.00 malam di TV2, Yuna yang tampil dengan persembahan bersahaja menyampaikan lapan buah lagu-lagu popularnya secara langsung yang sekaligus mendapat tepukan paling gemuruh daripada penonton yang hadir.
Memeriahkan keadaan persembahan turut diselitkan dengan sedikit jenaka serta senda gurau Yuna bagi mengambil hati peminat-peminatnya sempat meluahkan kegembiraannya dapat beraksi di pentas HMI.
Dalam nada teruja Yuna turut berkongsi perasaan gembiranya, “Kali terakhir saya membuat persembahan di sini (RTM) adalah pada tahun 2008. Satu jangkamasa yang agak lama. Saya sangat rindu dan kini saya kembali”.
Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu popular Yuna menerusi lagu seperti Mountains, Rescue, ‘Gadis Semasa’ & ‘Penakut’ (medley), ‘Terukir Di Bintang’, Come Back dan ‘Lelaki’.
Ternyata kemunculan Yuna berjaya mengubat rindu peminat-peminat setianya dan Bagi menghargai sokongan peminat selama ini, Yuna turut menghadiahkan beberapa keping cakera padat kepada mereka yang berjaya menjawab soalan dengan betul berkenaan karier seninya.
HMI Terbaik Yuna akan menemui peminat di saluran TV2.