[dropcap]S[/dropcap]aluran Ceria Anda, ntv7 hari ini mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan himpunan terbesar ibu-ibu hamil menerusi acara ‘Bella Bundle of Joy’ (BBOJ) yang bertujuan meraikan wanita yang bakal menimang cahaya mata. Malah percubaan itu juga berjaya dicatatkan di dalam The Malaysia Book of Records apabila seramai lebih daripada 125 orang wanita hamil menghadiri acara tersebut. Acara ‘baby shower’ ini sebenarnya diilhamkan daripada rancangan temubual wanita popular stesen televisyen itu, Bella.
[pullquote align=”right”]Himpunan ibu hamil TERBESAR anjuran ntv7 berjaya dicatat dalam The Malaysia Book of Records[/pullquote]
Acara itu juga dianjurkan sempena kempen Will & Kate and The Royal Baby yang merupakan kesinambungan kepada beberapa kempen terdahulu saluran ntv7 yang terkenal dalam membawakan liputan eksklusif mengenai pasangan ikon Diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton sejak perkahwinan mereka lagi.
Acara himpunan ibu-ibu hamil terbesar yang berlangsung dari pukul 2.00 petang hingga 7.00 petang di Majestic Hotel itu bukan sahaja menyaksikan ratusan ibu hamil hadir untuk diraikan malah beberapa selebriti Malaysia yang telah bergelar ibu seperti Dynas Mokhtar, Daphne Iking, Sasha Bashir, dan Sheahnee Iman Lee turut memeriahkan acara tersebut selain persembahan menghiburkan daripada penyanyi jazz terkenal, Atilia.
Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah sesi bicara ringkas mengenai persiapan para ibu, cara memahami keperluan si manja, pertandingan khas ‘Fabulous Mom’ yang menggalakkan ibu hamil untuk tampil menarik, zon khas untuk si bapa meluangkan masa bersama anak-anak, cabutan bertuah dan pelbagai gerai barangan berkaitan. Kesemua wanita yang turut serta juga diberikan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih terhadap mereka.
Kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.
“Idea menganjurkan acara Bella Bundle of Joy sebenarnya diilhamkan daripada rancangan temubual ntv7, Bella yang semakin mendapat perhatian oleh para penonton kami. Bella Bundle of Joy ini merupakan salah satu lagi cara bagi kami untuk menghargai kaum ibu dan kaum wanita secara amnya yang telah memainkan peranan yang besar sama ada dalam institusi kekeluargaan atau sumbangan mereka di dalam pembangunan negara.”
“Sejak perkahwinan Putera William dan Kate Middleton disiarkan pada tahun 2011, ntv7 terus berusaha mendapatkan liputan eksklusif mengenai pasangan Diraja Britain ini. Malah kami juga berusaha memberikan berita terkini ketika lawatan rasmi mereka ke Malaysia tahun lepas. Kini, berita gembira bahawa mereka akan menimang cahaya mata pastinya bakal kami bawakan kepada para penonton ntv7,” tambah Airin lagi.
Turut hadir dalam mengumumkan kejayaan rekod acara himpunan ibu-ibu hamil terbesar itu adalah Datuk Danny Ooi, Pengasas dan Pengarah Urusan The Malaysia Book of Records.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ntv7 yang diiktiraf sebagai pemegang rekod kerana berjaya menganjurkan ‘Himpunan Wanita-wanita Hamil Terbesar’ di Malaysia. Kami berharap agar stesen ini akan terus menerima pelbagai lagi pencapaian pada masa akan datang dan tidak berhenti sampai di sini sahaja.”
Sempena kempen itu juga ntv7 bakal membawakan empat dokumentari istimewa sepanjang bulan Jun: Prince William & Prince Harry – Prisoners of Celebrity (9 Jun), Bio: Kate Middleton (16 Jun), Secrets of the Royal Nursery (23 Jun) dan Will & Kate Baby Fever (30 Jun) menerusi slot istimewa setiap hari Ahad jam 8.30 malam. Terdahulu, ntv7 pernah menganjurkan kempen Will & Kate: The Royal Wedding, Will & Kate: The 1st Anniversary dan Will & Kate: The Malaysian Tour.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara penuh bersejarah saluran itu, ‘Bella Bundle of Joy’ layari www.ntv7.com.my atau ikuti perkembangan ntv7 di akaun Facebook dan Twitter.