Beliau yang juga penyanyi dan pelakon terkenal negara mengakui teruja dengan kerjasama tersebut kerana berpeluang melakukan kerja amal dan berbakti kepada masyarakat.
Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek,47, berkata, pihak Himaya akan menyumbangkan pelitup muka bernilai RM14,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Syria Care dan lain-lain dalam usaha menangani COVID-19.
“Alhamdulillah sudah menjadi rezeki saya. Lagi pun mereka ada target sasaran yang mereka mahu. Untuk golongan umur pertengahan atau dewasa mereka memilih saya.
“Apa yang seronok dan membuatkan saya teruja apabila kerjasama ini turut melibatkan kerja amal. Ini juga antara sebab saya bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak Himaya.
“Bukan sahaja kita menerima, sekarang juga masa untuk kita memberi semula kepada masyarakat, ” jelas Erra yang ditemui pada majlis sidang media Majlis Pelancaran Rasmi Pelitup Muka Premium bersama penyanyi Wany Hasrita di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Himaya adalah jenama pelitup muka medikal premium baru yang diperbuat daripada fabrik penapis kelas perubatan premium untuk aliran pernafasan yang selesa. Himaya juga sesuai untuk orang yang berkulit sensitif disebabkan kualiti fabrik premium yang lembut.
Pelitup muka medikal Himaya dipekenalkan dalam dua warna baru yang elegan, iaitu Blue Lagoon oleh Erra Fazira dan Apricot Dream oleh Wany Hasrita.
Tentang kerjaya, selepas muncul dengan lagu Memanglah Cinta, Erra merancang mahu muncul dengan album, namun semuanya tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebenarnya sebelum ini saya merancang untuk hadiahkan album buat peminat-peminat saya. Saya sudah berbincang dengan beberapa komposer. Cuma usaha itu terhenti seketika kerana PKP.
“Apa-apa pun saya akan teruskan perancangan album ini setelah lebih kurang 10 tahun saya tidak muncul dengan album,” ujar Erra lagi.