Minggu kedua Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) menyaksikan bukan satu tetapi dua peserta disingkirkan. Peserta yang kurang bernasib baik tersebut adalah kumpulan 2B dengan jumlah markah sebanyak 37.04% dan peserta solo Hilmy Ashley yang meraih 39.20%.
Ada Sebab Hilmy Ashley & 2B Tersingkir dari Maharaja Lawak Mega 2018
Douglas Lim, Ketua Juri MLM 2018 berpendapat penyingkiran 2B adalah dek kerana kegagalan kumpulan duo tersebut melaksanakan persembahan lawak mereka dengan sempurna dan bertambah malang apabila topik penceritaan mereka sama dengan kumpulan Abioso yang berjaya menyampaikan lawak mereka dengan begitu cemerlang.
Manakala, persembahan lawak Hilmy Ashely pula kurang teratur sehingga membuat penonton sukar untuk memahami apa yang ingin disampaikan.
Hilmy Ashley mengakui dia tersalah langkah. Hilmy memberitahu dia bertindak menambah idea pada ‘sketch’ lawak di belakang pentas sebelum tampil membuat persembahan.
“Selepas itu mungkin saya tambah yang baru tapi masih buat yang lama. Jadi, saya kat atas seorang-seorang itu terfikir balik apa yang saya cakap tadi.
“Masa latihan okey, topik bola juga okey apabila saya mula-mula dapat tarik perhatian penonton.
“Tapi ketika lawak mengenai kad, penonton mula ‘down’ mungkin sebab terlalu dalam. Sepatutnya, saya nak cakap bagaimana rupa ‘rappers’ menjadi pengadil tapi pergi benda lain.”
Tempat tiga teratas untuk minggu kedua diduduki oleh Zero dengan purata markah sebanyak 68.11%, diikuti oleh Puteh yang mendapat 64.59% dan Abioso dengan markah sebanyak 62.88%.
Di minggu ketiga ini, kesemua 12 peserta akan membuat persembahkan lawak berdasarkan tema ‘Kenangan’. Berjayakah Zero, Puteh dan Abioso mengekalkan kedudukan mereka pada minggu ini? Sama-sama kita saksikan.
Sama-sama kita saksikan Siaran Langsung Konsert Maharaja Lawak Mega 2018 (Minggu Ketiga)” yang akan bersiaran pada 16 November 2018 (Jumaat), jam 10.00 malam di Royal Teater Shah Alam (Jalan Persidangan, Shah Alam, Selangor.