in , ,

‘Hilang Kerusi’ Masa Konsert Blackpink, Peguam Saman Penganjur RM1 Juta

Sebanyak dua tiket bernombor 36 dan 37 telah dibelinya, namun sebaik tiba kerusi tersebut tidak wujud.

Setiap kali ada penyanyi antarabangsa yang hadir membuat konsert di negara ini, sudah tentu peminat tempatan di antara pihak yang paling teruja.

Malah mereka juga sanggup beratur bagi tempoh yang lama bagi mendapatkan tiket untuk menyaksikan penyanyi kesayangan berkenaan.

Bukan setakat berbelanja besar malah mereka sanggup membuat pelbagai persediaan turut dilakukan sebelum atau semasa hari konsert berlangsung sebagai contoh membeli cenderahati seperti baju, lanyard serta banyak lagi.

Peguam Ambil Tindakan Undang-Undang Saman Penganjur Live Nation

Baru-baru ini, seorang peguam iaitu Nas Rahman telah bertindak menyaman penganjur Konsert Blackpink Born Pink World Tour Kuala Lumpur iaitu Live Nation Malaysia hingga mencecah RM1 juta kerana hilang tempat duduk.

Tindakan undang-undang yang diambil terhadap syarikat berkenaan turut dikongsikan Nas Rahman menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Jelasnya, setelah beberapa perbincangan dilakukan kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat. Oleh itu, dia memfailkan saman terhadap penganjur berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, lapor Malay Mail.

Jelasnya dia telah membeli dua tiket bagi tempat duduk bernombor 36 dan 37 ketika konsert berlangsung pada 4 Mac lalu, namun sebaik tiba disana ia mendapati tempat duduk dengan nombor tersebut tidak wujud.

Malah dia turut mendakwa terpaksa berdiri atau duduk bersila di atas lantai sepanjang lebih kurang dua jam konsert berlangsung.

Pada 6 Mac, Nas Rahman kemudian telah bertindak menghantar notis tuntutan terhadap syarikat berkenaan untuk meminta pulangan wang pembelian tiket serta pampasan ganti rugi.

Turut Jelaskan Isu Tersebut di TikTok

Nas Rahman menerusi TikTok miliknya turut menjelaskan mengapakah tindakan undang-undang itu diambil.

“Saya percaya tindakan perlu diambil dan ia bukan kerana duit.

“Jika saya hanya membiarkan isu ini, ia mungkin boleh berlaku pada konsert lain di masa hadapan dan saya tidak mahu ia terjadi lagi.

Tambah Nas lagi, dia membiarkan mahkamah untuk membuat keputusan dan tidak mahu membuat pendedahan lebih banyak maklumat lanjut mengenai kes tersebut bagi mengikut prosedur undang-undang.

“Tidak kira saya menang atau kalah dalam kes ini. Saya harap saya dapat menunjukkan kepada Live Nation Malaysia dan penganjur konsert lain untuk memahami tanggungjawab mereka kepada pelanggan mereka.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

COLDPLAY

Harga Tiket Konsert Coldplay Semahal RM3,088 Jadi Bualan Netizen

RYZAL IBRAHIM

Isu Video Menyindir Golongan B40, Ryzal Ibrahim Takkan Minta Maaf