Malah, hampir kesemua lagu yang dilancarkan melekat di hati peminat sekali gus meletakkan Khai antara penyanyi muda yang berjaya melantunkan lagu genre balada dengan baik ditambah penghayatan yang cukup mandalam. Menariknya, kebanyakan lagu Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin dipilih menjadi lagu tema drama bersiri tempatan.
Terbaharu, menerusi syarikat rakaman 17 Eleven Music, Khai muncul dengan single yang dicipta khas untuk drama Kisah Cinta Rumi berjudul Hilang Gelita.
Drama yang bakal ditayangkan di Slot Lestary TV3, pada 24 April ini turut menampilkan Khai Bahar sebagai pelakon utama di samping barisan pelakon lain seperti Riena Diana, Sharifah Rose, Hariz Hamdan, Dynas Mokhtar, Cahaya Nilam, Noniswara, Louisa Alissa Chong dan Gen Darwish.
“Alhamdulillah, ini satu lagi buah tangan yang cukup istimewa buat peminat. Lagu ini memang dihasilkan untuk drama ini. Saya menganggap ia satu penghormatan apabila pihak syarikat penerbitan mahu saya cipta dan nyanyikan sendiri lagu tema drama ini.
“Memandangkan saya turut berlakon dalam drama ini, jadi agak mudah juga untuk mencari idea bagi menghasilkan lagu ini. Saya sudah faham serba sedikit jalan cerita drama ini, tinggal lagi saya perlu hasilkan melodi yang sesuai dan kena dengan kisah yang disampaikan.
“Proses rakaman juga berjalan lancar, walaupun dalam masa sama saya perlu terbabit dalam penggambaran. Terima kasih sekali lagi kepada pihak 17 Eleven Music atas kepercayaan diberikan,” katanya.
Khai berkata, dia tidak mahu peminat keliru dengan single Perpisahan yang baru dilancarkan pada 12 April lalu.
“Kalau ikutkan pelancaran bagi kedua lagu ini tidak jauh. Mungkin ada peminat yang akan tertanya-tanya. Tapi, ingin dikongsikan bahawa lagu Perpisahan adalah single yang dimuatkan dalam album Damba Ketenangan yang turut mengandungi lima zikir. Memandangkan kita sudah berada di bulan Ramadan, jadi saya berasakan lagu Perpisahan dan album ini kena pada masanya.
“Sementara untuk lagu Hilang Gelita pula ia memang dihasilkan untuk lagu tema drama. Kiranya, peminat yang menonton drama ini nanti akan dapat mendengar lagu ini. Seperkara lagi, tema lagu ini pun berbeza.
“Dalam erti kata lain, peminat ada pilihan untuk mendengar. Kalau nak mendengar keduanya juga lagi bagus. Ini kerana kedua lagu ini juga memiliki melodi dan lirik yang bagus. Jadi, bagi saya tidak akan timbul soal keliru.
“Lagi pula, pada zaman sekarang peminat juga lebih mudah untuk mendengar lagu. Banyak platform digital muzik sudah tersedia. Malah kalau di YouTube mereka boleh menonton video muzik,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu itu, Khai juga bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Rozi Razak yang menggunakan nama pena Rozisangdewi iaitu pengurs kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Drama ini mengisahkan bagaimana percintaan sepasang kekasih yang penuh dugaan. Jadi, melodi lagu perlu dihasilkan mengikut latar cerita ini. Malah, untuk lirik saya berasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kak Rozi. Diakui, kata-kata yang dihasilkan Kak Rozi punya nilai tersendiri. Terima kasih kerana sudi menerima tawaran kami,” katanya.
Sementara itu, Rozisangdewi berkata, kesungguhan Khai bersama pengurusnya datang berjumpa adalah penghormatan besar buat dirinya.
“Pihak pengurusan Khai iaitu Jai bertanya sendiri jika saya sudi menulis sebuah lirik lagu untuk Khai. Kesungguhan Khai dan Jai datang berjumpa sendiri adalah satu penghormatan besar buat saya. Ini kerana seorang anak muda berbakat besar yang mencipta sendiri lagu itu, sudi memilih saya menuliskan liriknya.
“Lirik Hilang Gelita saya tulis berasaskan sinopsis cerita atau drama yang diberikan. Apabila saya memberikan draft lirik yang pertama, pihak Khai terus bersetuju dan menerima baik.
“Selain itu, saya mengenal rapat Khai dan Jai dan saling bertukar pandangan dan mereka suka bertanya pendapat dan sebagainya. Dari situ saya faham karakter dan kemahuan Khai dan membuatkan kerjasama menjadi mudah,” katanya.
Lagu dan video muzik Hilang Gelita juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music bermula 21 April 2021.