Disahkan positif COVID-19, hantaran dimuat naik Nabila Huda di Instagram (IG) Story, pagi tadi, bagai meluahkan protes dan rasa kecewa terhadap sikap insan dikenali yang didakwa mengambil mudah soal penularan wabak berkenaan.
Perkhabaran sedih itu disahkan sendiri oleh bapanya, Amy Search selepas video Nabila menyambut ulang tahun kelahiran anak perempuannya, Keisha dari dalam bilik berseorangan.
Menurut Amy Search, biarpun pemilik nama Nabila Huda Suhaimi itu dijangkiti virus tersebut, anak perempuannya itu berada dalam keadaan baik.
“Abil ada beritahu sekarang dia sudah hilang deria bau, batuk dan selesema. Namun, buat masa ini keadaannya stabil.
“Alhamdulillah, Keisha dan suami serta kami sekeluarga tidak dijangkiti Covid-19,”
– Amy Search
Nabila yang mesra disapa Abil mengaku ralat dengan apa yang didakwanya sikap sambil lewa insan yang dikenali sehingga dia terpalit dan dijangkiti COVID-19.
Reaksi atas hantaran dikongsi Nabila, pasangan suami isteri, Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia memuat naik ucapan di IG Story mendoakan agar Nabila pulih seperti sedia kala.
Perkongsian itu lantas diungkap semula Nabila yang juga ibu kepada Keisha Laila itu di IG Story yang berbunyi:
“Saya ini jenis duduk rumah kalau tiada keperluan di luar. Jadi, kalau tiada sebab hendak keluar, duduklah diam-diam di rumah. Disebabkan degil, orang lain yang tidak bersalah jadi mangsa.
“Kesakitan yang datang berpunca daripada kepentingan dan kecuaian orang lain… Ini sudah jadi konsep teraniaya.
Benar apabila diuji dengan apa saja ujian dan kesakitan, kita kena reda dengan qada dan qadar.
“Tapi ini bukan konsep sebegitu, ini penyakit yang dicari atas kedegilan diri sendiri. Kerana nafsu dan keseronokan, habis semua yang tak ada kena mengena terpalit sama.
“Jangan berlagak jadi mangsa di atas situasi yang kamu wujudkan sendiri,” katanya.
Nabila yang ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah, bersyukur suami dan anaknya disahkan negatif.
“Walaupun esok sudah hendak raya dalam suasana yang tidak beriya-iya, kesakitan tidak terjangka ini membuatkan saya sedih.
“Hendak sambut hari lahir Keisha yang ke-11 baru-baru ini pun terpaksa berjauhan.
“Saya dalam proses sembuh… Harap keputusan ujian calitan nanti jadi negatif,” katanya.
Terdahulu, awal minggu ini pelakon Tiz Zaqyah, Nora Danish dan penyanyi Datuk Nora Ariffin juga mengumumkan mereka telah dijangkiti Covid-19.
Semoga cepat sembuh!