Hero Oven, program realiti masakan yang mencari jejaka tampan dan juga pakar manisan berkarisma kembali dengan musim baharu. Bakal bersiaran selama 13 episod bermula 5 November, setiap hari Ahad, pukul 11.30 pagi di TV3, Hero Oven musim kedua menampilkan 12 jejaka berentap untuk gelaran ‘Hero Oven’.
Pencarian Hero Oven musim kedua ini telah berlangsung dari 15 Februari hingga 15 Mac 2017. Terbuka kepada jejaka berperwatakan menarik yang berusia antara 20 hingga 35 tahun, kemahiran untuk menyediakan pelbagai kek dan pastri dengan menggunakan oven dan petah bercakap merupakan syarat utama untuk penyertaan Hero Oven.
Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 berkata, “Musim kedua ini masih mengetengahkan kaum Adam secara komersial sebagai pakar manisan. Amatlah penting bagi para peserta untuk menguasai teknik yang betul kerana asas dan pengetahuan tentang manisan perlu ada untuk menyiapkan pelbagai cabaran di dapur Hero Oven.
Selain itu, penampilan dan keyakinan diri juga sangat penting. Anda perlu pandai memikat hati juri dan penonton kerana matlamat kami ialah berjaya melahirkan seorang pakar manisan yang berkarisma di penghujung program nanti.”
Daripada ratusan peserta yang hadir di sesi uji bakat, hanya 20 peserta disenarai pendek ke sesi penyingkiran. Selepas itu, barulah barisan 12 peserta akhir Hero Oven musim kedua ditentukan. Di peringkat pertama, 12 peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan. 6 peserta akan bertanding pada setiap episod selama empat minggu (episod 3 – 6).
Mereka dikehendaki menyediakan manisan dalam dua cabaran iaitu cabaran teknikal dan cabaran kreativiti. Cabaran teknikal menguji kemahiran setiap peserta untuk menghasilkan semula pastri yang paling mirip dengan pastri asal. Selain itu, mereka juga wajib menggunakan satu bahan rahsia yang ditetapkan dalam cabaran kreativiti. Antara yang perlu disediakan oleh mereka adalah makarun, kek opera, kuih-kuih tradisional, petit fours dan banyak lagi. Semuanya perlu disediakan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
Hanya 6 peserta terbaik akan bertanding di peringkat separuh akhir. Mereka diberikan tugasan secara berkumpulan untuk merebut tiket ke peringkat akhir. Episod akhir pula bakal bersiaran selama satu jam menampilkan 4 peserta terbaik (Top 4). Mereka perlu menyediakan 3 jenis manisan mengikut tema yang diberikan.
Berikut ialah senarai 12 peserta akhir Hero Oven musim kedua:
1) Muhammad Adam bin Mahamed Ismail (Adam) / 26 tahun / Kelantan / bekerja sendiri
2) Syed Shahrizal bin Syed Othman (Kimi) / 35 tahun / Perak / pramugara
3) Abdul Mubin bin Mohd Hanafiah (Mubin) / 23 tahun / Selangor / pelajar
4) Kaisan bin Kassim (Kaisan) / 34 tahun / Selangor / penjawat awam
5) Muhamad Haziff bin Ahamat (Haziff) / 29 tahun / Selangor / bekerja sendiri
6) Mohd Tawfik bin Tumeran (Tawfik) / 29 tahun / Johor / pembuat kek & roti
7) Muhammad Ikhwan bin Mustafar (Ikhwan) / 25 tahun / Selangor / chef
8) Balasarman a/l Letchumanan (Bala) / 28 tahun / Kuala Lumpur / jurutera
9) Chai Chee Hung (Alex) / 29 tahun / Sabah / chef pastri
10) Mohd Faisal bin M Salleh (Faisal) / 33 tahun / Johor / guru
11) Ahmad Matin bin Ahmad Mokhtar (Matin) / 23 tahun / Selangor / pelajar
12) Amir Hamzah bin Mohamed (Amir) / 31 tahun / Johor / perunding makanan
Hero Oven Musim Kedua dihoskan oleh Chef Fikree Aznan dan Chef Sarah Samsul Ariffin. Antara tetamu undangan yang menyerikan program ini selaku juri jemputan ialah Sherry Al Hadad, Lana Nordin, Chef Naem, Sherson, Chef Nazeri dan Chef Jasman.
Pastikan anda menonton Hero Oven musim kedua pada setiap hari Ahad, pukul 11.30 pagi bermula 5 November. Jika anda terlepas menyaksikannya di kaca televisyen, anda boleh menonton melalui saluran alternatif iaitu di portal video nombor Satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.