TV2 TAYANG 3 FILEM HEBAT SEMPENA DEEPAVALI (HERCULES, THE TERMINAL DAN THE MISTRESS OF SPICES)
Deepavali disambut setahun sekali. Kemeriahannya yang diraikan semua penganut agama Hindu di negara ini turut sama dikongsi Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menghadiahkan tayangan tiga filem hebat khas untuk tontonan peminat setia salurannya.
Apatahlagi filem-filem terbaik yang terpilih untuk disiarkan ini membariskan pelakon-pelakon handalan termasuklah nama-nama besar seperti Tom Hanks, Catherine Zeta Jones dan Aishwarya Rai.
Pada 5 November 2010 (Jumaat) ini, variasi dua filem menarik yang dipilih untuk iaitu Hercules (jam 10.00 pagi) dan The Terminal (jam 1.15 pagi). Manakala keesokkan harinya, pada 6 November 2010 (Sabtu) menyusul filem The Mistress of Spices (jam 10.00) mengisi slot Saturday Nite Special On 2 yang kesemuanya disiarkan menerusi saluran Dunia Ria, TV2.
Luangkan masa pada cuti Deepavali ini dengan menyaksikan filem animasi adiwira iaitu Hercules arahan Ron Clements dan John Musker yang digarap daripada cerita lagenda Hercules serta Heracles yang mana ianya menerapkan nilai-nilai murni disamping pengajaran yang berguna buat penonton.
Plot filem animasi memaparkan suara latar daripada Tate Donovan (Hercules), James Woods sebagai Hades, Rip Torn sebagai Zeus dan Samantha Eggar sebagai ibu Hercules ini bermula dengan kelahiran Hercules, anak kepada Zeus dan isterinya dimana mereka menjemput Hades untuk menyambut kelahiran anak lelaki mereka. Walaubagaimanapun, Hades tidak menyenangi kelahiran Hercules kerana merasakan anak kecil itu bakal menggugat kehidupannya di masa akan datang.
Sejurus kelahiran Hercules, Hades bertemu dengan tiga Fates yang memberitahu dalam masa 18 tahun, dia akan mengalahkan Zeus dan memerintah semua akan tetapi, Hercules adalah individu yang bakal menggagalkan rancangannya. Bagi merealisasikan niat jahatnya, Hercules diculik dan dibawa turun ke Bumi. Hercules juga ditemui oleh masyarakat dengan sebuah pingat besar yang mempunyai simbol dewa-dewa dan disebabkan itu, masyarakat sekeliling tidak berani untuk mendekati beliau.
Daripada seorang remaja lelaki yang kurus, Hercules bertukar menjadi seorang pemuda yang tegap dan kuat. Dia menyiapkan diri dengan mempelajari ilmu yang amat berguna di kemudian harinya. Hercules juga ditemani oleh teman yang sentiasa disisi iaitu Pegasus, teman setia yang menemaninya sehingga perjalanan ke Thebes. Pelbagai cubaan bunuh yang cuba dilakukan oleh musuh dalam mematahkan semangat perjuangan Hercules ke Thebes.
Menyusul filem arahan pengarah tersohor Steven Spielberg bertajuk The Terminal yang mengaitkan watak seorang pelancong yang berdepan pelbagai perasaan yang akan dialami sama ada gembira, teruja dan tertanya-tanya adakah percutian yang bakal dilawati itu akan menjadi suatu momen terindah dalam hidup mahupun sebaliknya.
Plot filem ini bermula dengan pengembaraan seorang jejaka bernama Viktor Navorski lakonan Tom Hanks, juga merupakan pelancong daripada Eropah Timur. Sesuatu yang tidak disangka-sangka apabila sejurus ketibaan di Lapangan Terbang JFK, Navorski mendapat berita kurang gembira dimana negaranya telah mengalami peperangan yang menyebabkan negaranya terhapus di dalam peta serta pasportnya juga dibatalkan.
Akibat daripada itu, dia tidak boleh keluar ke mana-mana kerana dia tidak mempunyai pilihan lain selain menjadikan Lapangan Terbang JFK sebagai penempatan sementara buatnya. Bukan itu sahaja, keadaan Navorski menjadi haru-biru kerana dia tidak fasih berbahasa Inggeris dan ini menimbulkan kesulitan untuk dia berkomunikasi dengan orang disekeliling. Pelbagai insiden lucu yang akan dipaparkan kepada penonton akibat daripada perbatasan bahasa yang dialami oleh Navorski ini.
Pada masa yang sama dia juga telah jatuh cinta dengan seorang pramugari, Amelia Warren lakonan Catherine Zeta Jones, iaitu seorang pramugari warganegara Amerika Syarikat (USA).
Menampilkan Aishwarya Rai, Dylan McDermott dan Ayesha Dharker sebagai tunjang utama lakon layarnya, filem bertajuk The Mistress of Spices arahan Paul Mayeda Berges pula menemui penonton setia slot Saturday Nite Special On 2 dengan sajian pelbagai kisah menarik mengenai kehidupan seorang wanita iaitu Tilo lakonan berkesan Aishwarya Rai yang dianugerahi kuasa luar biasa sedari kecil.
Filem ini bermula dengan kehidupan Tilo yang mempunyai kebolehan untuk meramal masa depan, mencari barang yang telah hilang dan mampu meramal masa depan orang lain. Keistimewaan yang dianugerahi oleh Tuhan itu dikesan oleh ibu bapanya sejak dia kecil lagi. Walaubagaimanapun, nasib Tilo tidak selalunya cerah berikutan ibu bapanya mati dibunuh oleh penjahat dan dia juga turut diculik namun berjaya meloloskan diri daripada penjahat tersebut. Lalu dia bertemu dengan ibu angkatnya yang menjaganya hingga dia dewasa.
Dia kemudiannya diajar untuk menjadi seorang wanita rempah ”The Mistress of Spices”, dan disimbolikkan kepada Benih Bijan iaitu “Mistress of Sesame Seeds”. Dia diperturunkan ilmu untuk mengasah kebolehannya disamping perlu menuruti tiga jenis syarat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah dia perlu menggunakan kebolehannya meramal untuk kebaikan dan kesejahteraan orang lain, jangan pernah meninggalkan perniagaan rempah-ratusnya serta akhir sekali ialah jangan pernah menyentuh kulit orang lain.
Setelah dia menjadi seorang wanita dewasa yang matang,dia ditugaskan untuk menjalankan perniagaan rempah di Bazar Rempah-Ratus yang terletak di Francisco. Bermulalah kisah kehidupan Tilo dengan mengenali seorang lelaki India tua yang dipanggil Dadaji, seorang lelaki bernama Kwesi, seorang wanita iaitu Myisha, pemandu teksi yang dipanggil Haroun Rehman, Jagjit dan ibunya, tidak lupa juga Doug dan teman wanitanya.
Dengan keistimewaan yang dia ada, Tilo menyediakan ramuan rempah-ratusnya untuk memperbaiki kehidupan mereka. Tilo juga telah mula tertarik dengan Doug sehingga menyebabkan dia mengingkari salah satu syarat yang telah ditetapkan untuknya. Bukan itu sahaja, setelah jatuh cinta dia turut meninggalkan kedai rempahnya itu kerana perlu mengunjungi Haroun.
Saksikan pelbagai insiden yang berlaku setelah dia mengingkari syarat-syarat yang telah ditetapkan dan ianya juga turut memberi kesan keatas pelanggannya, tidak lupa juga turut menimpa keatas dirinya sendiri. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem ini kerana ianya penuh dengan pengajaran kepada penonton.
Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan tiga filem ini, Hercules (jam 10.00 pagi) dan The Terminal (jam 1.15 pagi) pada 5 November 2010 (Jumaat) juga pada 6 November 2010 (Sabtu) menyusul filem The Mistress of Spices (jam 10.00) yang ketiga-tiganya disiarkan menerusi saluran Dunia Ria, TV2.