Bintang filem Crazy Rich Asians dan Snake Eyes berusia 34 tahun itu dalam sebuah video berdurasi hampir lima minit yang dimuat naik dalam Instagram (IG) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes masalah kesihatan mental akibat tekanan pada era pandemik COVID-19.
Justeru, jejaka berdarah kacukan Iban-Inggeris itu mencabar peminat meluangkan masa bertanya khabar kepada tiga rakan atau kenalan sama ada melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon mahupun video bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik.
“Saya tahu rakyat Malaysia sedang melalui situasi getir akibat pandemik, selain beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sejak lebih setahun lalu.
“Bagaimanapun, ramai terlepas pandang mengenai masalah kesihatan mental dan kerapuhan emosi ditanggung oleh mereka yang terkesan dengan pandemik.
“Ada antaranya memilih menamatkan riwayat hidup atau mungkin ada yang pernah terfikir ke arah ini. Ramai hilang pekerjaan, tidak dapat bertemu keluarga dan rakan dalam tempoh lama disebabkan pergerakan terbatas.
Golding berkata, dia mencabar peminat di Malaysia meluangkan masa dan bertanya khabar tiga rakan, setiap hari.
“Sikap prihatin ditunjukkan boleh menyebabkan mereka yang berdepan kemurungan tahu ada rakan mengambil berat dan ingin melihat mereka sihat serta selamat,” kata Golding.
Menurut Golding, biarpun sekadar bertanya khabar melalui mesej, panggilan telefon dan video, namun usaha sekecil itu membawa makna cukup besar kepada mereka yang berdepan dengan emosi tidak stabil.
“Jika boleh luangkan masa antara tiga hingga empat minit, telefon dan bertanya khabar rakan atau kenalan. Tunjukkan kita mengambil berat, tanya aktiviti sedang dilakukan dan dengarkan luahan hati mereka dalam menghadapi saat sukar.
“Siapa tahu usaha sekecil ini dapat mengubah keputusan secara drastik. Bagi mereka yang berdepan gangguan emosi, banyak organisasi menawarkan khidmat sokongan dan nasihat. Jangan keberatan menghubungi organisasi Befrienders bagi mendapatkan nasihat.
“Saya akui sangat sedih melihat angka kematian akibat bunuh diri yang meningkat, saban hari. Sedangkan kita berupaya mengekangnya jika memberikan sokongan dan menunjukkan sikap prihatin terhadap insan sekeliling,” katanya yang turut bersimpati dengan situasi getir dilalui rakyat Malaysia, ketika ini.