Sebaik sahaja Emma berkongsi gambar mereka berdua di Instagram, pelbagai komen berbaur negatif ditinggalkan netizen di laman sosial artis terbabit.
Sebahagiannya terus menghentam pelakon berdarah campuran itu yang baru-baru ini mengejutkan industri hiburan tanah air apabila memutuskan untuk kembali membuka tudung, selepas hampir lima tahun berhijab.
Begitupun, tidak kurang peminat yang mendoakan bintang filem Kimchi Untuk Awak itu kembali menutup aurat.
Pendekatan Diplomasi Untuk Emma Maembong
Heliza pula mengambil pendekatan lebih berdiplomasi berhubung tindakan diambil Emma, selain kecaman dilemparkan netizen.
“Hati (Emma) sangat baik. Nak jadi baik. Kita pun nak jadi baik. Maka kita semua kena doa, sebut dan komen yang baik-baik. Mudah mudahan perkara yang baik juga kita akan dapat,”
– IG Story Heliza Helmi
Heliza turut berharap semua orang di luar sana mampu menjadi perantara untuk mendekatkan lagi masyarakat, termasuk Emma, dengan Yang Maha Kuasa.
“Semoga kita tidak menjadi sebab untuk orang lain menjauhi Allah.
“Kadang-kadang tanpa kita fikir, lisan (percakapan) yang keluar dari mulut kita akan menyebabkan seorang hamba yang sedang berjuang untuk terus istiqamah ke jalan Allah, sampai di pertengahan jalan tewas dan menyerah jatuh ke lembah jahiliah.
“Benda ini yang paling saya takuti dan semoga kita dijauhi,”
– Heliza Helmi
Bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima itu juga berharap, semua pihak akan terus menjaga tutur kata dalam kehidupan seharian.
“Pandulah kami di atas setiap perkara dilakukan, termasuk perbuatan, kata-kata, penulisan dan akhlak.
“Ya Allah, mereka yang sedang memberi komen ini menyayangi antara satu sama lain, maka jadikan kita semua penyebab orang lain makin dekat dengan-Mu, bukan makin menjauh,”
– Heliza Helmi
Sementara itu, menerusi kapsyen gambar yang dikongsi Emma, pelakon terbabit mengucapkan terima kasih kepada Heliza atas nasihat yang diberikan.
“Allah sudah menentukan kehidupan kita. Jika sesuatu yang buruk terjadi, ia bersebab.
“Terima kasih Kak (panggilan untuk Heliza) atas masa yang diluangkan. Sampai tiga pagi kita berborak dan banyak yang saya belajar,”
– Emma Maembong
Sumber: Berita Harian