Nampaknya ramai pula pihak yang bersuara untuk tidak menggalakkan penayangan filem PEKAK. Antaranya ialah Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia yang lebih dikenali sebagai HEAR ME turut Bantah Tayangan Filem PEKAK di Malaysia. Pastinya, ada sebab tertentu mengapa tindakan ini wajar diambil. Mungkin selepas ini kita akan mengetahui respon dari team produksi dan pelakon serta pengkritik filem tentang isu ini.
Merujuk kepada filem Pekak yang ditayang bermula 1 September 2016 baru-baru ini, kami dari Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me) ingin menyatakan bantahan terhadap tayangan filem yang diarahkan oleh Mohd Khairul Azri Md Noor. Filem yang dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Iedil Putra, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi, Joe Flizzow dan Zaidi Omar ini telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan pelbagai pihak termasuk ahli persatuan kami yang rata-rata mempunyai anak yang menghidapi masalah pendengaran.
Bantahan Penayangan Filem Pekak Bagi Tontonan Umum Di Malaysia
[dropcap]S[/dropcap]ejujurnya menurut pendapat kami, filem ini adalah sangat tidak sesuai untuk ditayangkan. Selain di penuhi dengan adegan-adegan yang tidak bermoral seperti dadah, mencuri, pergaulan bebas, keganasan dan rokok, filem Pekak ini seakan-akan memperlekehkan kedudukan dan maruah Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran. Realiti sebenar majoriti kehidupan OKU pendengaran adalah jauh berbeza daripada apa yang ditayangkan di dalam filem ini.
Untuk pengetahuan pihak umum, persatuan Hear Me mengumpulkan ibubapa yang mempunyai anak bermasalah pendengaran dan majoriti daripada anak-anak kami samada memakai alat bantuan pendengaran (Hearing Aids) atau implan koklea (seperti watak yang dimainkan oleh pelakon Zahiril).
Malangnya, informasi berkenaan dengan implan koklea dan juga jalan cerita yang digunakan dalam filem ini adalah kurang tepat dengan fakta dan realiti serta tidak membantu dalam meningkatkan pengetahuan serta kesedaran pihak penonton tentang isu masalah pendengaran dan secara khususnya implan koklea. Dengan mengaitkan implan koklea dengan kegiatan haram seperti dadah dan seks terbuka, ini sedikit sebanyak akan merosakkan pandangan masyarakat terhadap mereka yang memakai implan koklea dan bakal mengganggu emosi anak-anak implan koklea yang akan membesar dengan tanggapan masyarakat yang serong terhadap mereka.
[pullquote align=”right”]Kami ingin menggesa pihak penerbit dan pengarah filem Pekak untuk memohon maaf secara terbuka kerana telah memalukan dan menjatuhkan maruah golongan OKU Pendengaran, terutamanya bagi mereka yang memakai implan koklea.[/pullquote]
Kehidupan sebagai seorang OKU Pendengaran sudahpun sedia penuh dengan cabaran dan dugaan menghadapi masyarakat Malaysia yang masih lagi kurang pendedahan terhadap keadaan dan situasi mereka. Tidak perlulah pihak penerbitan filem membantu untuk menambahkan lagi masalah kepada mereka.
Kepada pihak Lembaga Penapisan Filem, kami berhadap agar filem Pekak ini diharamkan daripada tayangan umum di Malaysia seperti mana negara jiran Brunei telah laksanakan. Biarlah masyarakat Malaysia menonton filem-filem bermesejkan unsur-unsur positif yang boleh meningkatkan produktiviti dan melahirkan budaya yang lebih harmoni.
Kami juga ingin menyeru kepada semua pihak untuk menunjukkan budaya belas kasihan dan empati terhadap golongan OKU Pendengaran yang cuba untuk memperbaiki kehidupan mereka dan memperjuangkan hak mereka. Berilah sokongan dan bantuan kepada ibubapa yang berusaha bekerja mencari rezeki yang halal dalam mengumpul dana untuk memberikan anugerah koklea implan kepada anak masing-masing.
Sekian.
Norziba Fazlina Abdul Ghani, Presiden
Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me)
PIC: Maryam Sakinah Abang Abdullah, Bendahari Persatuan
Disokong oleh:
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (Ikram Health) Wanita IKRAM Malaysia
Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA)