Bakat baharu dalam bidang nyanyian ini punya impian dan cita-cita besar dalam industri hiburan tanah air. Kemunculannya menerusi single pertama berjudul Terpisah Waktu pada awal tahun lalu bukti kesungguhan dan semangat untuk bergelar anak seni.
Justeru, apa yang menjadi pertimbangan pemuda asal Klang, Selangor ini adalah lagu yang dipersembahkan kepada umum haruslah mengikut cita rasa masa kini.
Biarpun dalam masa sama Hazim akur akan persaingan yang wujud daripada bintang ciptaan realiti TV lain, bagi dirinya tiada yang mustahil asal saja yakin dengan kelebihan dimiliki.
“Saya bermula kosong, tapi komposer lagu Terpisah Waktu iaitu abang Yuzai memilih saya kerana dia percaya pada potensi saya. Alhamdulillah, saya diberikan lagu Terpisah Waktu. Dari situ, saya belajar dan memperbaiki kekurangan dengan tunjuk ajar daripada abang Yuzai termasuk beberapa orang lagi yang terbabit.
“Sejak Terpisah Waktu dilancarkan, ia berjaya menembusi beberapa radio tempatan. Selepas itu ada beberapa kali saya dipanggil sebagai tetamu jemputan untuk program TV termasuk dijemput ke pelbagai acara untuk menbuat persembahan. Jadi, rezeki itu ada di mana-mana, cuma cepat atau lambat sahaja dan apa yang penting adalah usaha.
“Saya bukan lahir daripada program realiti atau pernah menjadi tular, tapi saya nampak rezeki Allah itu ada. Dengan saingan hebat diberikan dalam kalangan penyanyi di Malaysia ketika ini, saya rasa itu bagus kerana industri muzik di Malaysia perlukan persaingan sihat untuk tumbuh. Rezeki saya baru bermula dan saya tak akan mengalah sebab ini yang saya mahukan,” katanya.
Tanpa mahu membazir waktu, Hazim terus melancarkan single kedua berjudul Bisa. Lagu yang dilancarkan pada 8 September lalu itu adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Wanz Barons dengan susunan muzik daripada Along Exists.
Menurut Hazim, biarpun bergerak solo tanpa bernaung di bawah mana-mana label atau syarikat rakaman, dia tetap percaya pada potensi diri.
“Saya bergerak seorang diri dengan dibantu beberapa rakan yang percaya terhadap potensi saya. Saya tidak bernaung di bawah mana-mana label, tetapi untuk seseorang yang kosong dan bukan siapa-siapa apabila ada melancarkan lagu dan muzik video saya ditonton, ia adalah satu pencapaian. Lebih-lebih lagi kalau lagu ini dimainkan di radio dan saya muncul di TV.
“Apa yang penting adalah saya betul-betul mahu menunjukkan kesungguhan dalam bidang ini. Saya mahu tunjukkan apa yang saya boleh buat kepada semua. Sebenarnya saya juga membawa tanggungjawab besar untuk memberikan yang terbaik kepada mereka yang banyak menbantu dan menyokong kerjaya saya.
“Kebanyakan individu di sebalik pembikinan lagu ini tidak mengenali saya, tapi mereka tidak kisah dan membantu saya dengan sepenuh hati, jadi saya perlu membalas jasa mereka dengan memberikan usaha yang terbaik. Jadi, saya rasa bertanggungjawab untuk ketengahkan lagu itu bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk mereka yang terbabit dalam pembikinannya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Hazim menyifatkan dia seorang penyanyi yang mampu menyanyi dengan penuh perasaan.
“Pada saya menyanyi itu adalah bercerita, jadi ketika menyanyi perlu menjiwai untuk menceritakan kepada orang lain. Kalau dengarkan lagu Terpisah Waktu, ia menceritakan mengenai seseorang yang memendam rasa rindu, jadi setiap bahagian perlu disampaikan dalam keadaan tertentu.
“Manakala, lagu Bisa mewakili perasaan lelaki yang patah hati. Daripada awal lagu saya seolah-olah bercakap dengan seseorang mengenai kesakitan apabila dikhianati. Kelebihan saya adalah ‘feel’ yang disampaikan dalam lagu dan saya tahu kemampuan vokal dimiliki cuma belum diberikan peluang untuk tunjuk kepada semua,” katanya.
Dalam masa sama, Hazim mahu terus berada dan bertahan dalam bidang ini untuk tempoh lima tahun kedepan selain berharap masyarakat dapat mengenali kemampuan vokal yang dimiliki.
“Saya rasa perkataan lebih sesuai untuk menggambarkan kelebihan saya adalah ikhlas. Saya mahu orang tahu keikhlasan saya dalam menyampai sesebuah lagu itu. Saya mahu orang tahu dan nampak perkara itu.
“Nyanyian yang terlampau teknikal ada betul dan hebat, tapi nyanyian yang ikhlas dan menjiwai lebih mudah sampai kepada orang,” katanya.
Lagu Bisa sudah boleh didengarkan di semua platform muzik digital, manakala video muzik (MV) lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Rusa Entertainment.