Penyanyi Hazama kini suami kepada pemuzik, Genervie Kam, 37, selepas diijabkabulkan 10.30 pagi tadi di Gombak, di sini.
Hazama, 33 dan Genervie yang menjalin hubungan cinta hampir tiga tahun itu selamat dinikahkan dalam majlis tertutup yang dihadiri oleh keluarga terdekat.
Pada majlis sederhana tetapi meriah itu, Genervie yang sudah memeluk Islam sebelum dinikahkan menerima mas kahwin RM300.
Terdahulu, Hazama dalam kenyataannya sebelum ini, memilih untuk mengadakan majlis pernikahan secara sederhana.
Bagi pemilik nama penuh Hazama Ahmad Azmi ini, dia mengutamakan perkara wajib seperti dituntut agama.
Hazama juga sebelum ini menyatakan mahu menyunting Genervie sebagai isteri sebelum berlangsungnya Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) pada 22 Januari ini.
“Majlis ini adalah permintaan kedua-dua belah keluarga. Lagi pun saya tidak mahu semua orang terus-menerus bertanya bilakah kami akan bernikah.
“Dengan berlangsungnya majlis ini, saya berharap tidak ada lagi yang bertanya,” katanya.
Sementara itu, Hazama dan Genervie bakal diraikan dalam majlis resepsi kecil-kecilan di tempat sama pada malam nanti.