Di peringkat global, kita menghasilkan sekitar 335 juta tan metrik plastik setiap tahun. Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), “pencemaran sisa plastik adalah masalah alam sekitar yang utama serta sangat membimbangkan di peringkat global”. UNEP menganggarkan bahawa 100 juta tan plastik kini berada di lautan dan 80-90 peratus daripadanya berasal dari sumber berasaskan darat.
Industri fesyen dan pakaian tempatan secara kebiasaannya menghasilkan fabrik dengan menggunakan bahan plastik Poliester. Poliester bersifat kuat, tahan koyakan, anti remuk dan menjadikannya ideal serta sesuai untuk kegunaan harian. Malangnya, penghasilan fabrik poliester juga memerlukan penghasilan sebanyak 60 juta tan poliester asli setiap tahun demi tekstil. Dengan mengenal pasti punca, Hatta Dolmat dan Persatuan Pereka Muda KL (satu persatuan di bawah bidang kuasa Hatta Dolmat) bersama rakan kongsi strategik, KLOTH Cares dan Ocean Hero Conservation mengambil proses ini selangkah lebih jauh, dengan mendapatkan sumber plastik terbuang di lautan yang dikenali sebagai (Polyethylene Terephthalate atau PET ) untuk dijadikan sebagai bahan ganti bagi Poliester asli. Dengan kaedah ini, OCEAN’US juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dan Tourism Malaysia untuk mencipta fabrik lestari sebagai alternatif dan sepanjang proses itu, mereka menyasarkan untuk mewujudkan hab pelancongan mampan di Malaysia.
Misi OCEAN’US bertujuan untuk menampilkan pulau-pulau Pelancongan Malaysia, pantai dan Batik Malaysia yang menjadi sumber ilham bagi koleksi lestari OCEAN’US. Koleksi lestari ini telah dipamerkan di KLFW 2021 pada 6 November 2021. Kempen ini diteruskan dengan penghasilan siri web berjumlah 4 episod yang menampilkan pulau dan pantai di Selangor, Langkawi, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang dan Perak termasuk banyak aktiviti lain seperti pembersihan pantai, bengkel, ceramah di sekolah, universiti dan kolej. Kempen OCEAN’US akan menjadi acara kesedaran Pemuliharaan Fesyen Lestari yang pertama diadakan di Malaysia bagi mempromosikan Eko-Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia yang mampan. Barisan Ocean Hero Advocates adalah terdiri daripada Datuk (Dr) Chef Wan, Yuna, Datin Winnie Loo, Dato’ Sri Dr Vincent Tiew, Amber Chia, Freda Liu, Fiqrie Dahari, Wei Ron Tan, Linora Low, Duke Krishnan, Theeban Govindasamy, Edilberto Magpayo (Filipina), Kym Tan, Karmun Ooi, Adelina Chan, dan ramai lagi untuk turut serta menyokong aktiviti kempen OCEAN’US dan mendekati lebih ramai orang terutamanya kepada generasi akan datang.
“Kita perlu menyokong kegiatan yang menggabungkan elemen sosial dan alam sekitar. Jika anda lihat kepada pengeluaran tekstil dan industri fesyen secara amnya, kita akan dapati bahawa bahan pencemaran dibuang terus ke dalam saluran air dan hal ini ternyata melanggar hak asasi manusia secara berleluasa. Saya ingin membuktikan bahawa kami adalah berbeza.” Kata, Hatta Dolmat. Oleh itu, Hatta Dolmat, Kloth Cares dan Ocean Hero Conversation bekerjasama bagi mengutip sumber sisa PET dari lautan yang telah menjejaskan ekosistem secara negatif. Sisa PET dihantar yang dikumpulkan ini dihantar ke kilang untuk di kitar semula di bawah penyeliaan KLOTH Cares dan Ocean Hero Conservation bagi mencipta fabrik baharu yang diperbuat daripada 100% PET kitar semula.
“Rakan industri dan ahli perniagaan perlu menukar model perniagaan mereka dan mencipta produk yang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang serta kualiti yang lebih baik. Penggiat industri fesyen mesti memahami nilai sebenar sesuatu bahan pembuatan dan rekaan justeru menghasilkan produk yang berkualiti tinggi. Kami gembira Hatta Dolmat kini menuju ke arah kemampanan dan berpegang kepada SDG 12 dan SDG 14 dalam memacu semua aspek perniagaannya.” Kata, Shirene Moong, Pengasas Ocean Hero Conservation.
Pada tahun ini, Hatta Dolmat memperkenalkan motif Batik lukisan tangan pertamanya di KL Fashion Week 2021. Dengan pelaksanaan motif Batik lukisan tangan oleh pereka sendiri, Malaysia boleh dilihat sebagai antara negara pertama yang mengeluarkan Motif batik secara ekologi. Hatta Dolmat dan Tourism Malaysia telah bekerjasama rapat untuk mempromosikan amalan mampan dalam aspek reka bentuk penghasilan Batik melalui koleksi OCEAN’US serta membantu mencipta produk yang lebih mesra ekologi.
“Kami berhasrat untuk mengharmonikan batik Malaysia dengan menggabungkan dengan elemen kemampanan alam sekitar. Oleh itu, dengan inisiatif dan kerjasama antara kerajaan dan Hatta Dolmat, kami akhirnya melihat bahawa terdapat cara moden untuk mempromosikan Batik dan mengurangkan sisa plastik di lautan.” kata Y.M. Tengku Dato’ Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M Tengku Azman Shah Alhaj, Penasihat Ocean Hero Conservation. Hatta Dolmat bercadang untuk melancarkan koleksi OCEAN’US secara fizikal dalam bilangan yang terhad untuk mengelakkan pengeluaran produk secara besar-besaran yang akhirnya akan membawa kepada penyumbangan sisa fabrik. Koleksi OCEAN’US bakal dijuali sebelum pertengahan tahun 2022.