Kata-kata nasihat yang disampaikan oleh Amin menerusi Instagram (IGTV) miliknya dibanjiri komen positif yang sedikit sebanyak telah menyedarkan orang ramai bahawa tidak mudah untuk menghukum seseorang itu murtad.
“Masuk padang bola pun ada peraturannya, inikan pula agama. Ada peraturannya. Ada disiplinnya.
“Tiba-tiba dah masuk Islam nak keluar pula. Itu kesalahan besar dalam Islam. Ini bukan soal menghina orang Islam tetapi sudah sampai tahap menghina Allah s.w.t yang mencipta sekelian alam, langit dan bumi termasuklah menurunkan Islam sebagai rahmat untuk kita semua,” jelas Amin.
Menyentuh tentang isu Sajat mengumumkan dirinya mahu keluar Islam, Amin berharap netizen tidak mudah menilai atau menghukum.
“Kita kena hati-hati dalam menilai sebab ada orang nak keluar Islam kerana dia benci kepada Islam atau dia benci atau memberontak kepada pemerintah Islam. Ada juga yang nak keluar dari Islam sebab nak selamat daripada pihak berautoriti atau berkuasa Islam.
“Bila pihak berautoriti nak ambil tindakan terhadap Bang Jat (Sajat) untuk dibicarakan di mahkamah, dia cakap tak kena panggil.
“Bila pihak berautoriti pergi rumah dia. Dia hilang pula. Beberapa hari selepas itu nak keluar Islam pula.
“Untuk tidak diambil tindakan, jadi dia isytihar dia bukan Islam. Tapi Bang Jat, hati-hati. Taktik itu tidak menjadi bro,” ujar Amin lagi.
Dalam masa yang sama, Amin juga menegaskan, kita sebagai orang Islam sepatutnya sentiasa berdakwah atau mengajak orang ke arah kebaikan, bukannya menghukum apatah lagi dalam soal murtad. Tidak semudah itu.
“Kita pula sebagai orang Islam bila tak bersetuju dengan orang yang tak berakhlak, janganlah kita guna pendekatan yang tak berakhlak. Misalnya, kita kecam. Tidak kurang juga yang memurtadkan dia. Walaupun dia cakap nak keluar Islam.
“Kite pendakwah sepatutnya mengajak bukannya jadi hakim yang menghukum. Hakim nak menjatuhkan hukuman murtad ke atas seseorang bukan senang.
“Dia kena teliti segala bukti-bukti yang ada, segala keterangan yang ada, situasi dan keadaan. Tiba-tiba kita senang sahaja hukum orang murtad, di media sosial pula tu.
“Dan tak kurang juga yang komen, bunuh dia, pancung dia.
“Guys, para fuqaha’ pun berbeza pendapat tentang hukuman bunuh kepada yang murtad. Antaranya Imam bukhari dan disebut juga oleh Dr. Muhammad Abid al jabiri, murtad ini ada dua jenis, satu dia murtad sorang-sorang.
“Kedua, sudahlah murtad, tapi dia hadir juga orang lain untuk murtad bersama dia. Yang ini Imam Bukhari berkata yang bermaksud, dia keluar daripada Islam dan melakukan kerosakan di Muka bumi.
“Maksudnya dia menentang pemerintah Islam, hasut pula orang lain keluar daripada Islam, yang ni kata mereka boleh dihukum bunuh. Adalah Malaysia memperuntukkan hukuman sebegitu? Yang itu kita bincang kemudian.
“Jadi di sini kita lihat para fuqaha’ pun berbeza pendapat tentang hukuman bunuh terhadap yang murtad, kita pula kadang-kadang al-Quran pun tak ingat, hadis pun lupa, pandai-pandai nak jatuhkan hukuman,” jelasnya lagi.
Amin juga menjelaskan Malaysia juga mempunyai prosedur-prosedur tertentu sebelum seseorang itu mengambil keputusan untuk keluar Islam.
“Untuk makluman, dalam Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) menyatakan , kalau seseorang itu cakap nak keluar Islam, dia mesti diberi peluang dan ruang untuk bertaubat selama 12 hari termasuk kaunseling.
“Selepas 12 hari, pejabat agama akan keluarkan laporan. Sekiranya dia nak murtad juga, maka dia akan dibicarakan.
“Nak sebut di sini, bukan senang kita nak hukum seseorang itu murtad sebab kena tengok niat dia, tingkah laku dia. Mungkin dia dalam tekanan, mungkin dipaksa.
“Kesimpulannya dalam isu ini, berperananlah kita sebagai orang yang mendoakan bukannya penghukum. Iaitu sebagai pendakwah, bukannya hakim yang menghukum.
“Buat Bang Jat, bila orang dah nasihat, orang dah tegur dari selembut-lembut cara sampailah setegas-tegas kaedah, lihatlah diri sendiri, muhasabah dan perbaiki diri, bukannya dengan merajuk, selepas itu beritahu orang nak keluar Islam,” nasihat Amin kepada Sajat di akhir videonya itu.
Kita semua sebagai orang Islam terus mendoakan yang baik-baik agar Sajat terus kekal dengan Islam. Amin…
*Sumber: Wilayahku