Debaran Konsert Akhir IK3
Kini sudah tiba masanya untuk kita semua menyaksikan kehandalan kelima-lima finalis yang berjaya ke pentas konsert akhir Idola Kecil 3.
Tiap-tiap minggu ada sahaja tema yang tersendiri di mana mereka semua telah melalui cabaran untuk mendendangkan lagu bertemakan pop & balada, rock, duet dan tribute to Dato’ Siti Nurhaliza. Dari sini, kita boleh lihat di manakah terletaknya kekuatan setiap peserta bukan sahaja dari segi nyanyian, malah tarian dan juga lakonan.
Harris, Hadi, Balqis, Puteri, Shazlin Bakal Berentap di Final Idola Kecil 3. Siapa yang akan bergelar juara?
Sepanjang perjalanan rancangan IK3 ini, begitu banyak kejutan, tangisan dan drama yang telah berlaku. Pada minggu pertama, semua peminat setia rancangan ini telah dikejutkan apabila Adiba telah disingkirkan apabila mendapat markah terendah dan Deera pula pada minggu seterusnya.
Walaupun baru sahaja berkenalan, namun tali persahabatan yang terjalin adalah begitu utuh sehingga kekecewaan jelas terpancar pada muka setiap peserta apabila ada rakan yang tersingkir.
Emosi mereka tidak dapat dikawal pada malam penentuan finalis IK3 apabila tiga daripada mereka terpaksa menamatkan perjalanan mereka untuk bergelar Idola Kecil iaitu Angel, Afif dan Farra. Walaupun menyedihkan, ini tetap adat pertandingan apabila hanya satu sahaja yang layak bergelar juara.
Tahniah diucapkan kepada Abdul Hadi Mazlan (Hadi), 11; Shazlin Salamat (Shazlin), 12; Nor Balqis Ahmad Tajuddin (Balqis), 11; Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri), 12; dan Nor Harris Alif Rashidi (Harris),11, yang telah berjaya untuk bertanding pada peringkat akhir Idola Kecil 3. Minat dan bakat yang dianugerahi Tuhan akan dipraktikkan sebaik mungkin supaya mereka dapat melakukan yang terbaik pada malam tersebut dengan seleksi lagu lama dan baru.
Menjelang konsert akhir program realiti ini, pelbagai persiapan dilakukan bagi memastikan rancangan terbitan TV9 ini berjalan dengan lancar. Perasaan teruja dan gemuruh bukan sahaja dirasai oleh lima finalis cilik ini, tetapi tetap dirasai oleh semua krew produksi yang terlibat secara langsung pada malam kemuncak ini. Kesemua finalis mempunyai bakat luar biasa yang amat menakjubkan dan ianya pasti akan menjadi sangat sukar untuk mengagak siapa yang akan membawa pulang hadiah utama.
Juara Idola Kecil Musim Ketiga bakal membawa pulang wang bernilai RM10,000 dan juga akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai rancangan dan aktiviti yang diaturkan oleh pihak TV9. Siapa yang akan bergelar Juara IK3? Sama-sama kita saksikan Peringkat Akhir Idola Kecil Musim Ketiga yang akan bersiaran secara langsung pada 25 Disember (Sabtu) jam 8.30 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.