HHarris Annuar berkata, dia percaya mimpi itu seakan-akan memberi petunjuk kepada dirinya supaya menjadi insan yang lebih baik dan taat kepada perintah Allah.
“Kematian penyanyi Siti Sarah juga membuka pintu hati saya untuk bertaubat. Ketika arwah pergi, ramai yang mendoakan kesejahteraannya. Saya sangat cemburu kerana arwah pergi dengan cara yang mulia. Orang kata meninggal dunia dalam husnul khotimah.
“Saya juga terpegun melihat ramai rakan artis yang berubah ke arah kebaikan sehingga saya bertanya kepada diri sendiri, bila giliran saya?
“Pernah satu hari sewaktu saya tidur, saya mendapat mimpi yang saya pula akan meninggal dunia. Dari situ, saya tahu yang Allah ingin tunjukkan sesuatu kepada saya,” katanya.
– Harris Annuar
Menurut Harris, sejak menyertai kumpulan tabligh dia mengakui kerap menitiskan air mata tatkala mengenangkan segala dosa yang pernah dilakukan.
“Pada minggu pertama dan kedua saya belum dapat rasai ketenangan sebenar sebab kerap menangis akibat terkenang dosa silam.
“Namun, selepas minggu kedua, saya bersyukur kerana Allah tunjukkan saya satu persatu pengajaran sehingga saya peroleh ketenangan yang diimpikan. Saya rasa diri lebih kosong dan lapang,”
– Harris Annuar
Ditanya mengenai bagaimana dia mengawal kecaman apabila ada segelintir yang menganggap golongan selebriti tidak mampu bertahan dalam perjuangan ini, Harris ternyata tidak peduli mengenai pandangan manusia.
“Ada perbezaan antara pandangan manusia dengan Allah. Jika pandangan manusia kita buat baik macam mana sekali pun, kalau kita buat satu keburukan itu yang akan dipandang. Tapi kalau kita bertaubat Allah tidak memandang keburukan dan masa silam seseorang itu.
“Biarlah apa mereka nak kata, saya hanya mampu serahkan kepada Allah. Dia yang tentukan segalanya dan boleh ubah nasib seseorang itu mengikut kehendak-Nya.
“Allah boleh ubah manusia daripada jahat kepada baik. Biarlah manusia tak pandang sekalipun asalkan Allah pandang kita. Saya tak ambil peduli, cuma doakan saya agar terus istiqamah,” katanya.
– Harris Annuar
Sumber: Harian Metro