Bergelar ‘singer-songwriter’ ternyata memberikan satu lagi kelebihan buat Harith, 27, atau nama sebenarnya Mohamad Harith Saifuzzaman dalam menghasilkan karya yang segar sesuai dengan pasaran muzik semasa.
Jika dua lagu sebelum ini iaitu Cute (Stop Lah So Being Cute) dan Tak Tahu dia berkolaborasi bersama penyanyi lain, terbaharu Harith muncul dengan single Shut Up yang menampilkan dia secara solo.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Harith Zazman, Mage, Pique dan Fahimi Rahmat itu sudah dilancarkan secara rasmi sejak 1 Oktober lalu di bawah terbitan syarikat rakaman Faithful.
Menariknya, video rasmi (MV) lagu Shut Up yang bakal dilancarkan pada 12 November ini turut memaparkan elemen kejutan buat peminat iaitu perkongsian mengenai kehamilan isterinya, Nuramalina Ghakashah.
Terdahulu, pasangan ini melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Ogos lalu.
“Ini adalah lagu solo pertama saya. Sejujurnya saya amat takut juga pada awalnya, tapi pengurus saya cakap bila lagi nak buat secara solo kalau bukan sekarang. Jadi, pada 12
November ini bakal dilancarkan video muzik rasmi lagu ini. Dalam MV ini akan berkongsi yang mana isteri saya hamil. Jadi ini adalah eleman kejutan yang ditampilkan dalam MV.
“Untuk MV semua idea datang daripada pengarah, Hafreez Amminuddin atau Freeze. Dia memang nak sesuatu yang berbeza daripada saya. Jadi, itu yang timbul idea ‘alien’ dan ‘outer space concept’.
“Ia mengenai ‘alien couple’ yang isterinya berasa kurang selamat dengan ‘alien’ lain tapi suaminya disitu untuk memujuk. Memang ada tarian yang pelik untuk menunjukkan cara si suami memujuk si isteri. Apa pun ia pengalaman yang menarik ketika penggambaran dijalankan. Kena tengok betul betul juga di mana ada babak di mana isteri saya mengandung. Ia secara tak langsung nak berkongsi berita gembira ini. Alhamdulillah,” katanya.
Berkongsi mengenai percubaannya bergerak solo tanpa berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi, Harith mengakui timbul rasa gementar.
“Sebelum ini saya berkolaborasi dengan artis lain seperti Loca B dan Tuju. Kali ini pengurus cakap buatlah lagu dan menyanyi secara solo pula. Apa saya risau adalah saya ini bukan penyanyi dari awal, jadi agak gementar kalau nak buat persembahan tanpa ada orang di sebelah. Itu yang buatkan saya risau. Tapi saya fikir, lama kelamaan kalau nak buat perkara ini serius kena belajar jika mahu terus bergerak solo. Kalau tak bila lagi nak buat.
“Dari segi rakaman tidak ada masalah, sebab sudah lama dengan Faithful, jadi saya ‘enjoy’ saja. Cuma yang saya risau juga mengenai sambutan dan penerimaan pendengar. Kalau berkolaborasi dengan artis lain sudah tentu peminat mereka akan mendengar sekali. Kali ini saya solo saja, pendengar pun berdasarkan peminat saya saja, itu yang membuatkan saya sedikit gementar, tapi alhamdulillah okay saja,” katanya.
Dalam masa sama, Harith mengakui selesa untuk menyanyikan lagu bergenre pop sama seperti single terdahulu.
“Saya pilih genre pop pun sebab saya rasa sangat sesuai dengan saya buat masa sekarang. Kalau nak buat balada pun belum masanya lagi. Sebab saya masih belajar menyanyi dan mengikuti kelas vokal. Kalau nak nyanyi lagu balada atau bernada tinggi itu, tunggu jika saya sudah betul betul mahir.
“Lirik lagu pula memang saya buat berdasarkan pengalaman hidup. Saya berasa susah nak tulis kalau tidak ada pengalaman itu. Macam ketiga-tiga lagu sebelum ini pun saya tulis berdasarkan pengalaman saya.
“Konsep lagu pun pada awalnya saya yang ‘insecure’ dengan isteri. Sebab pada awal perhubungan dia yang banyak tenangkan saya kalau saya rasa ‘insecure’. Ditambah dengan idea dari rakan penulis lain maka jadilah lagu Shut Up ini yang pada awalnya adalah lagu yang sangat berbeza,” katanya.
Harith juga berharap lagu dan MV yang bakal dilancarkan ini diterima baik peminat muzik tempatan.
“Saya berharap anda boleh ‘enjoy’ dan menikmati MV ini serta boleh berhenti berasa ‘insecure’ terhadap pasangan. Paling penting sayangi diri anda kerana orang sekeliling anda menyayangi anda tidak kira rupa dan bentuk,” katanya.
Shut Up boleh didengari semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox manakala muzik video rasmi ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Faithful pada 12 November 2021 pada jam 11 pagi.
Selain itu, anda juga boleh sertai cabaran #ShutUpTolongDiam di aplikasi TikTok untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti pakej ‘movie night’ yang mengandungi barangan ekslusif Shut Up, Kad Hadiah Netflix dan banyak lagi.