Bagaimanapun, kemunculan semulanya menerusi program realiti Gegar Vaganza sekitar lima tahun lalu, dilihat sangat membawa tuah buat kerjaya penyanyi kelahiran Sendayan, Negeri Sembilan itu.
Terbaharu, Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana memenangi kategori Artis Versatil Popular dan Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, baru-baru ini.
Kata penyanyi berusia 36 tahun itu, lebih dua dekad bergelar anak seni membuatkan dia banyak belajar serta menghargai peminatnya yang tidak putus memberikan sokongan.
“Sepanjang 20 tahun menceburi industri ini, terlalu banyak pengalaman yang sudah saya tempuhi. Memang tidak dinafikan, pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk memperbaiki diri.
“Bagi saya tanpa peminat, artis tidak akan ke mana-mana. Saya bersyukur kerana Siti Nordiana FC sangat relevan dan mereka menerima serta sentiasa menyokong apa saja produk yang saya hasilkan.
“Mereka sangat memahami dan menyayangi saya. Mereka tidak pernah jemu dan sentiasa bekerja keras untuk mengundi saya. Hadiah kemenangan ini juga, sebenarnya untuk mereka juga. Selain peminat, saya juga berterima kasih kepada keluarga kerana sentiasa mendoakan saya.
“Bagi saya, perhubungan dengan peminat memang sangat perlu dijaga kerana mereka banyak mempengaruhi kerjaya seseorang artis. Mereka sanggup bersusah payah untuk kita sedangkan mereka bukanlah ahli keluarga kita” katanya.
Tidak dinafikan ikatan Nana bersama kelab peminatnya, Siti Nordiana FC cukup kuat. Sejak keluar daripada Gegar Vaganza (GV) sehingga kini, pelbagai anugerah sudah berjaya diraih ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu termasuk Penyanyi Wanita Popular, pada ABPBH ke-30, tiga tahun lalu.
Tambah Nana, tiada apa yang mampu dia berikan untuk membalas jasa peminatnya. Namun, selagi mana peminat masih meminati dirinya, dia akan terus bersemangat untuk mempertahankan kerjaya seninya.
Ditanya apakah dia mempunyai sebarang perancangan untuk berkolaborasi bersama Khai Bahar selepas memenangi kategori Artis Kolaborasi Duo/ Berkumpulan Popular, Nana berkata selepas lagu Satukan Rasa, setakat ini mereka tidak mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu duet terbaru.
“Belum ada sebarang peracangan untuk berduet dengan Khai lagi, Namun,saya akan berduet dengan seorang penyanyi lelaki tetapi buat masa ini terpaksa merahsiakan siapakah gerangannya,” katanya.
Bergelar penyanyi sememangnya bukan mudah, lebih-lebih lagi pada ketika situasi pandemik Covid-19 masih menular. Nana mengakui kerjaya seninya agak terjejas.
Bagaimanapun katanya, dia tidak hanya duduk menunggu sebaliknya sentiasa rancak memikirkan sumber lain yang boleh dilakukan demi menjana pendapatan.
“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah ada beberapa material untuk tahun depan antaranya karya duet dengan seorang penyanyi lelaki.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) ini pula, saya hanya buat apa yang termampu saja. Terjejas itu sedikit sebanyak tentulah ada, memandangkan kami golongan penyanyi khususnya tidak boleh membuat persembahan di luar. Tapi, kita kena cuba usahakan dahulu mengikut kemampuan,” katanya.
*Sumber: Harian Metro