Ibarat condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak. Begitulah wadah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir pernah meletakkan nama Malaysia di peta dunia sehingga digelarkan sebagai Harimau Asia ketika mengurus tadbir negara selama 22 tahun dari tahun 1981-2003.
Pada 10 Mei yang lalu dunia menyaksikan Malaysia dilanda angin perubahan apabila tertubuhnya kerajaan baru di Malaysia yang diterajui oleh pemimpin yang bijaksana lagi disegani yakni Tun M sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 yang sangat dialu-alukan oleh rakyat Malaysia. Malaysia dipandang tinggi kerana sesuatu yang mustahil di atas kertas analisa penganalis politik seluruh dunia, kini sudah pun menjadi nyata.
Sesuai dengan nafas baru Malaysia dan iklim politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Aizat melancarkan single terbaru berjudul ‘HARAPAN JADI NYATA’.
Apa yang menarik tentang single ini, ianya seumpama ramalan yang akhirnya menjadi nyata. Bait-bait lirik lagu yang ditulis Aizat Amdan pada tahun 2011 ini, seakan-akan dapat membaca apa yang bakal terjadi pada perjalanan politik Tun M pada tahun 2018. ‘HARAPAN JADI NYATA’ merupakan karya ciptaan penuh Aizat sendiri dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai penerbit dan pengedar.
Single yang berkonsepkan pop balada ini mengambil ilham daripada falsafah kepimpinan dan perjuangan Tun M. Dalam menjelaskan inspirasi di sebalik lagu ini Aizat berkata,
“Sejujurnya inspirasi lagu ini datang dari ayah saya yang ingin menzahirkan perasaan hormat dan kagumnya kepada Tun M yang juga merupakan pemimpin idolanya. Lagu ini hanya untuk memberi penghormatan kepadanya setelah berjasa pada Malaysia begitu lama. Saya tidak sangka pula dia akan naik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua. Sayangnya, ayah saya sekarang diserang penyakit strok. Saya pasti dia gembira dengan keadaan Tun sekarang. Kalau bukan sebab sakit, mungkin sekarang ayah saya pun turut aktif menyokong kepimpinan Tunâ€.
Meskipun sudah ditulis sejak 7 tahun lalu namun ‘HARAPAN JADI NYATA’ ini tidak pernah dirakam dan dikeluarkan secara rasmi. Namun begitu, lagu ini pernah dipersembahkan oleh Aizat secara langsung bersama Suki Low dan Lorence Soosai dalam sebuah majlis penghormatan buat Tun M pada tahun 2011 iaitu di Majlis Gala Tun Dr Mahathir: Legasi Tersohor. Bila ditanya matlamat sebenar disebalik pelancaran lagu ini, Aizat menjelaskan,
“Sebenarnya kami tak merancang pun nak keluarkan lagu berunsur patriotik. Tapi selepas dapat kerajaan baru pada 10 Mei yang lalu, keadaan dan suasana negara macam berubah. Like a breath of fresh air untuk Malaysia. Jadi saya fikir sangat sesuai untuk single yang pernah saya tulis ini sebagai tribute to this historic moment yang boleh kita ingat selama-lamanyaâ€.
Single yang berkonsepkan pop balada ini dirakam sepenuhnya di Emil Berliner Studio, Berlin, Jerman. Anas Amdan yang juga penerbit rakaman ’HARAPAN JADI NYATA’ turut bercerita bahawa, “Studio yang kami pilih ini merupakan studio rakaman terkenal yang menjadi pilihan artis-artis lagenda antarabangsa, antaranya David Bowie yang pernah merakam albumnya di sini.
Rakaman single ini dibuat sepenuhnya oleh Aizat kecuali bahagian strings. Kami diberi masa 5 jam sahaja untuk jalankan rakaman sebab itu saja yang kami mampu nak sewa. Tapi overall it was a nice experience for Aizat to be recording in an international class environment. Kemudiannya, track tersebut dibawa balik dan diadun oleh Felix Voonâ€.
Aizat berhasrat single ini bukan sahaja sebagai tanda penghormatan buat negarawan ulung ini tetapi ianya juga merupakan hadiah buat Tun M yang bakal meraikan ulangtahunnya yang ke-93 pada 10 Julai nanti.
‘HARAPAN JADI NYATA’ boleh didapati dikesemua pelantar digital bermula pada hari ini 29 Jun 2018. Muzik video bagi ‘HARAPAN JADI NYATA’ juga sudah boleh ditonton di YouTube Vlog Aizat.
Lagu dan muzik video ‘HARAPAN JADI NYATA’ boleh didengari di pautan ini https://WMM.lnk.to/hjn.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.theaizatamdan.com.