Haqiem berkata, dia menerima berita menggembirakan pagi tadi selepas membuat ujian saringan COVID-19, Jumaat lalu.
“Saya bersyukur keputusan ujian calitan dibuat dua hari lalu menunjukkan saya bebas COVID-19. Saya akui, tidak senang duduk apabila memikirkan kesan pada kemudian hari sepanjang dua hari ini.
“Saya tinggal bersama orang tua dan ada kala, anak saudara yang masih kecil juga berada di rumah. Mereka adalah golongan yang berisiko tinggi.
“Justeru, saya lega sangat apabila menerima berita yang menggembirakan ini,”
– Haqiem Rusli
Walaupun disahkan bebas dari pandemik COVID-19, penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
“Saya tetap menjalani kuarantin di rumah dan hanya berada dalam bilik sahaja untuk tempoh tiga hari ini. Saya perlu menjaga kebersihan dan keselamatan demi orang sekeliling saya.
“Kerja seni akan diteruskan seperti biasa, tetapi hanya dalam media sosial sahaja,” cerita penyanyi berusia 23 tahun itu.
– Haqiem Rusli
Dalam pada itu, artis naungan FMC Music itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraannya.
“Terima kasih atas segala doa yang dipanjatkan. Sama-samalah kita menjaga keselamatan bagi mengekang penularan wabak ini.
“Pesan saya, kalau rasa kurang sihat, pergilah buat ujian saringan. Jangan sayang keluarkan duit untuk melakukan pemeriksaan kerana kesihatan lebih penting dari segala-galanya,”
– Haqiem Rusli
Terdahulu, penyanyi yang baru saja muncul dengan single Mimpi itu membuat ujian saringan COVID-19 selepas dipercayai menjadi kontak rapat kepada seorang individu yang disahkan dijangkiti virus berkenaan.
*Sumber: BH Online & Instagram Haqiem