Tiga anak muda yang bukan sahaja berbakat besar dalam bidang nyanyian, malah mampu mencipta lagu akan muncul dengan single berjudul Lara pada 6 November ini.
Single Lara ciptaan Hael bersama komposer, MFMF serta disempurnakan sentuhan oleh Naim dan Haqiem. Tiga penyanyi berkenaan sudah mula mempromosikan single Lara menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Ini adalah lagu berentak balada yang ‘power’. Single Lara mengenai suara hati lelaki yang tidak dihargai wanita. Ia dirakamkan, beberapa bulan lalu.
“Bagaikan satu penghormatan buat saya yang paling muda untuk berkolaborasi bersama Hael dan Naim. Mereka pernah melakar kejayaan menerusi Anugerah Juara Lagu. Kini, kami berentap pula menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xioami Malaysia pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.
“Saya anggap ini satu momen manis, tahun ini dengan menjadikan realiti gabungan trio ini,”
– Haqiem Rusli
Sebelum ini, Haqiem pernah berkolaborasi dengan Aman Ra menerusi single Jatuh Bangun.
Mengenai pencalonan ABPBH 33, Haqiem berkata, selain Penyanyi Lelaki Popular Xioami Malaysia, dia turut menembusi kategori online, Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Lembah Kesepian.
Tahun lalu, Haqiem menjadi pilihan peminat mengungguli kategori online, Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom Popular ABPBH 32.
“Alhamdulillah, saya bersyukur membolosi dua kategori, tahun ini. Di sebalik kebangkitan bakat baharu, nama saya masih lekat untuk menembusi pencalonan ABPBH 33. Menang atau tidak, saya terima dengan hati yang terbuka.
“Jika kalah sekali pun, saya tetap syukur. Ini kerana saya percaya kelab peminat, Qiemilio sudah bertungkus lumus mengundi saya.
“Saya tak sangka diumumkan antara 10 artis yang mendahului undian ABPBH 33, baru-baru ini. Dalam pertandingan, saya tidak meletakkan harapan tinggi. Saya terbuka menerima apa sahaja keputusan,” katanya yang tampil dengan single terbaharu, Adlina Marie.
– Haqiem Rusli
*Sumber: BH Online