RM5 JUTA KUTIPAN TIKET UNTUK LIMA HARI TAYANGAN FILEM HANTU BONCENG
Filem ke 23 Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Hantu Bonceng, lakonan Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid AF dan ramai lagi, mencipta sejarah dengan kutipan tiket terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan dengan purata kutipan tiket adalah sebanyak RM 1 juta untuk setiap hari tayangan.
Perkiraan kutipan tiket bermula dari 31 Ogos sehingga 4 September 2011, di 80 pawagam, serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei. Dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM 5 juta ini, menjadikan lebih 500 000 (Lima ratus ribu) penonton telah menonton Hantu Bonceng di pawagam.
Excellent Pictures dan pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan semua pihak dalam mencipta sejarah perfileman tanahair. Ucapan terima kasih kepada pihak media yang menyebarluaskan maklumat berkaitan Hantu Bonceng, pelakon-pelakon yang sentiasa memberi kerjasama dan komitmen dalam mempromosikan filem ini seterusnya kepada semua peminat dan penonton yang tidak putus memberi sokongan dengan menonton Hantu Bonceng di pawagam.
Tambah Ahmad Idham lagi, “Saya juga menyeru kepada semua pihak yang belum mahu pun yang sudah menonton Hantu Bonceng, untuk pergi ke pawagam, bersama teman-teman dan sanak saudara di Aidilfitri ini, untuk menonton filem ini. Hantu Bonceng adalah sebuah komedi ringan yang mempunyai mesej serta mampu mengeratkan perhubungan di antara rakan taulan dan saudara.”
“Selain itu, sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton dan peminat, dan diharapkan sokongan yang diterima berterusan untuk memastikan ‘Hantu Bonceng’ mampu melakarkan satu lagi sejarah perfileman tempatan, dan kita akan dapat berbangga dengan produk filem sendiri,” tambah Ahmad Idham lagi.
Hantu Bonceng masih membonceng di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei, dengan kebanyakkan pawagam dibanjiri penonton yang ingin mendapatkan tiket. Tempahan awal amat digalakkan, samada melalui pembelian kaunter mahupun dalam talian.