Pelakon Hans Isaac sanggup mengambil cuti selama empat hari bagi memberi sokongan moral kepada rakannya di mana isteri dan dua anaknya antara penumpang yang menaiki pesawat menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang pagi Sabtu. Menurut Hans, dia terkejut dengan berita kehilangan pesawat tersebut dan berasa lebih sedih apabila mendapat tahu keluarga rakan baiknya yang juga seorang usahawan turut berada dalam pesawat itu.
“Susah untuk saya gambarkan kesedihan saya ketika ini apabila mendapat tahu berita kehilangan pesawat MH370. Tetapi apabila keluarga rakan baik turut terbabit dengan kes ini, ia lebih menyayat hati saya. Kejadian itu membuatkan saya terlalu sedih sampaikan saya mengambil cuti empat hari (termasuk hari ini) untuk memberi sokongan moral kepada rakan baik saya itu.”
Sementara itu, Hans berkata, dia turut sedih apabila melihat ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas insiden tersebut.
“Saya terkejut dengan komen-komen negatif yang dimuat naik oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab di Twitter. Mereka seperti tidak mempunyai perasaan langsung keatas kejadian ini sehinggakan saya malas mahu membaca komen-komen di Twitter.”
Terdahulu, pada pagi Sabtu, MAS mengesahkan bahawa penerbangan MH370 telah terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara di Subang. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MAS, penerbangan MH370, yang menggunakan pesawat B777 -200 berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi pada 8 Mac 2014.
MH370 dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Penerbangan itu membawa seramai 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal. Sumber: Mstar Online