PERANTARA HANS ISAAC DAN PERSEMBAHAN PEMBUKA DARI MIZZ NINA DI MALAM KEMUNCAK BELLA AWARDS 2013
Penyanyi terkenal Mizz Nina kini diumumkan secara rasmi sebagai artis yang bakal membuat persembahan pembuka di anugerah berprestij yang bakal meraikan golongan wanita – Bella Awards – pada 2 Mac 2013 secara langsung dari Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Turut berkongsi pentas dengan puteri pop itu adalah Darren Ashley dan kumpulan wanita yang sedang meningkat naik, The Impatient Sisters. Mizz Nina malam itu bakal menggegarkan acara itu dengan lagu hit popularnya “Takeover” hasil duetnya bersama bintang rap antarabangsa, Flo Rida dan lagu nyanyian Black Eyed Peas “Just Do It”.
Teka-teki siapakah perantara malam itu kini terjawab di mana Hans Isaac bakal digandingkan bersama tiga jelitawan Bella – Elaine Daly, Daphne Iking, dan Vanessa Chong – untuk mengacarakan rancangan anugerah itu yang bermula pada jam 9.00 malam di ntv7.
Acara karpet merah Bella Awards, “Sparkle Carpet” pula akan disiarkan pada 8.30 malam dan diacarakan oleh Nazrudin Rahman bersama pemenang pencarian “Bella Official Correspondent”.
Gabungan dua pengacara di karpet merah ini nanti dikatakan bakal memberikan idea dan konsep menarik dalam pengacaraannya.
Wanita sering dikaitkan dengan fesyen. Oleh sebab itu Bella Awards akan menampilkan segmen khas yang dinamakan “Fashion Rocks” menampilkan pereka fesyen terkenal Datuk Radzuan Radziwill bersama Fizi Woo. Pereka fesyen ini bakal memperagakan 12 buah koleksi mereka di pentas Bella Awards 2013.
Datuk Radzuan memang terkenal di dalam bidang fesyen dan sering mereka pakaian buat artis-artis terkenal. Malah beliau juga pernah diberi tugasan untuk mereka pakaian penyanyi no.1 negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk konsertnya di Royal Albert Hall di London.
Manakala Fizi Woo pula, pada usianya 24 tahun, beliau telah memenangi pelbagai anugerah sepanjang kerjayanya. Ketika segmen “Fashion Rocks” oleh Fizi Woo, Darren Ashley dan The Impatient Sisters akan turut serta menyanyikan rantaian lagu popular mereka – “Far Out” dan “Comets and Stars”.
Bagi memastikan susunan lagu di acara itu bakal menghiburkan penonton. Bella Awards juga mendapatkan penerbit, komposer dan penulis lagu terkenal, Aubrey Suwito selaku pengarah muzik.
Bella Awards 2013 dianjurkan oleh ntv7 bersempena Hari Wanita Sedunia. Ia juga merupakan rancangan anugerah wanita pertama seumpamanya yang diadakan untuk merai, mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada wanita di negara ini
Rancangan anugerah itu bakal mengumumkan pemenang bagi setiap kategori Bella Style Award, Bella Creative Award, Bella Beautiful Award, Bella Business Award, dan Bella Heart Award. Tidak ketinggalan satu anugerah khas buat lelaki yang dinamakan “Bella Mars Award” yang diberikan kepada calon terpilih berdasarkan sumbangan mereka terhadap masyarakat.
Sementara itu anugerah utama yang paling dinantikan adalah “THE BELLA AWARD”. Pengiktirafan ini akan dianugerahkan kepada individu yang tidak hanya tertakluk kepada calon-calon yang telah tersenarai di dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
Empat lagi anugerah tambahan iaitu Bella On-Screen Award, Bella On-Stage Award, Bella Sports Award, dan Bella Radio Award akan berdasarkan kepada undian orang ramai melalui SMS dan dalam talian di www.ntv7.com.my/bellaawards.
Bella Awards akan bersiaran secara langsung selama satu jam setengah pada 2 Mac 2013 bermula jam 9.00 malam manakala acara karpet merah “Sparkle Carpet” pula akan disiarkan tepat jam 8.30 malam eksklusif ntv7. Rancangan anugerah itu juga boleh ditonton secara “live streaming” di www.ntv7.com.my/bellaawards.