Hanez Suraya Selami Watak Wanita Mualaf Sepanjang Ramadan Ini di TV2
Wanita mana yang tidak mengimpikan kebahagiaan dalam percintaan mahu pun rumah tangga? Namun menyedari ia ketentuan takdir, maka ada yang memperoleh kebahagiaan itu dan tidak terkecuali sebaliknya. Pun begitu, hidup perlu diteruskan kerana pasti ada hikmah yang menunggu.
Justeru, apakah ada sinar bahagia buat Nur Hidayah Melissa? Mampukah wanita mualaf sepertinya meraih cinta diharapkan? Itulah perjalanan kisah yang cuba diungkapkan menerusi drama Hidayah Cintaku yang akan menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini mulai 23 Julai 2012, setiap Isnin hingga Rabu, jam 1.30 petang di TV2.
Drama 13 episod mengisi slot Galeri Famili ini membariskan pelakon meningkat naik dan senior, Hanez Suraya Abdul Aziz sebagai Nur Hidayah Melissa, Riz Amin (Mukriz), Raja Azrey (Dr Kazarudin), Farid Wari (Hakim), Hamidah Wahab (Datin Sufiah), Dayana Roza (Marie), Rafina (Ellis), Izatul Akma (Hannah) dan Diwan Nawi (Johan).
Ketabahan seorang wanita adalah plot utama drama Hidayah Cintaku bermula dengan penghijrahan dilakukan Melissa yang sanggup meninggalkan agama asal serta keluarga demi mengikut hasrat hati untuk mendalami Islam yang dipercayainya.
Menyedari dia memerlukan seseorang untuk membimbing dirinya menjadi muslimin sejati, Melissa yang memilih nama Nur Hidayah Melissa bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Mukriz. Sayangnya, rumah tangga yang dibina tidak bahagia.
Tidak serik dengan perkahwinan dan masih berpegang pada harapan mencari lelaki yang boleh membimbing dirinya, Melissa mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Dr Kazarudin. Perkahwinan mereka bersandarkan cinta, namun tidak direstui ibu mentua, Datin Sufiah.
Pelbagai konflik diwujudkan Datin Sufiah supaya anaknya bercerai. Malah, disebabkan perasaan benci juga, Datin Sufiah sanggup memisahkan Melissa dengan anaknya. Justeru, naluri seorang ibu yang terlalu menyayangi anaknya membuatkan wanita mualaf ini akur.
Sebaik bercerai dengan Dr Kazarudin, tiada lagi cinta di hati Melissa kecuali berusaha mencari anaknya yang hilang. Muncul sahabat di universiti dulu, Hakim membantu. Bahkan, soal jodoh diserahkan pada ketentuan Tuhan.
Diterbitkan produksi Summit Treasure Sdn Bhd, lokasi drama Hidayah Cintaku dilakukan sekitar Lembah Klang dan Puncak Alam, Selangor ini mengajak penonton berteka-teki apakah kesudahan yang berlaku dalam diri Melissa.