Semasa Sidang Media Pelancaran Teater Projek Kahwin yang berlangsung Dewan N’Dah Seksyen 14, Shah Alam semalam, sekali lagi pelakon Hanez Suraya diasak dengan soalan oleh media tentang respon beliau apabila isteri kekasihnya (Romie Razizan Adilha), Nurliyana Manan mengeluarkan kenyataan bahawasanya dia tidak mahu meminta maaf kepada Hanez Suraya.
“Saya dah jelaskan semuanya sewaktu di sidang media kelmarin. Saya bersyukur dan lega kerana sudah menerangkan segalanya. Tentang kenyataan pihak di sebelah sana yang tidak mahu minta maaf kepada saya, tidak mengapalah. Saya pun meminta secara baik atas nasihat peguam saya. Terpulanglah pada beliau. Dan saya tidak akan ambil apa-apa tindakan. Tetapi sekiranya beliau mahu berbincang secara baik dan profesional, saya sedia berdepan dengan beliau.”
Liyana Tidak Mahu Minta Maaf
[dropcap]M[/dropcap]enerusi akhbar Berita Harian semalam melaporkan Liyana bertegas tidak mahu memohon maaf secara terbuka atas tuduhan yang dilemparkan terhadap Hanez mendakwa aktres itu sebagai perampas suaminya. Kontroversi mula tercetus selepas Hanez membuat pengakuan dia bakal berkahwin dengan seorang lelaki kononnya berstatus duda yang dikenali sebagai Mr.R sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.
Pelakon Autumn in My Heart itu juga berharap isteri kekasihnya itu tidak menggunakan media untuk terus memburuk-burukkan dirinya.
“Apa yang penting saya dah jelaskan yang saya bukan penyebab kepada masalah rumah tangga mereka. Dari awal lagi saya tidak pernah masuk campur dan tidak mahu masuk campur dalam urusan rumah tangga mereka. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Cuma janganlah beliau gunakan media untuk aibkan orang.”
Dalam pada itu, mengenai komen-komen peminat yang agak melampau yang diterimanya, Hanez berkata dia telah memaafkan semua pihak yang menghina dan mencaci kerana tidak mahu isu ini terus berpanjang.
“Tentang penerimaan orang-orang di luar sana, terpulanglah pada mereka untuk menilai. Saya faham penerimaan mungkin lambat kerana ramai yang tidak tahu cerita sebenar. Di akaun Instagram saya ramai yang mengutuk, mencaci saya hingga ada yang melemparkan kata-kata yang melampau. Kawan-kawan saya ada yang minta saya delete komen-komen tersebut kerana mereka sendiri tidak sanggup membacanya. Tapi saya tidak delete. Walaupun komen-komen itu banyak negatif, saya biarkan saja. Mulut orang kita tak boleh nak tutup. Saya sedih kerana orang terlalu cepat menghukum. Tapi saya yakin lama-kelamaan orang akan berhenti bercakap.”
Sekarang ini, Hanez Suraya akan sibuk untuk menjayakan Teater Projek Kahwin akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 6 hingga 14 Jun. Karya arahan Muhammad Azri Ali ini turut dijayakan oleh barisan pelakon yang juga tidak kurang hebatnya, Izzue Islam, Sherry Alhadad, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf dan Zulin Aziz.