Pakar motivasi dan penceramah terkenal, Datuk Azizan Osman berkongsi pengalaman dijangkiti Covid-19 selepas ada kontak rapat dengan seorang pesakit yang sama pada 7 Januari lalu. Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azizan berkata, selain beliau, seramai 31 ahli keluarganya lain turut dijangkiti Covid-19.
Apa yang turut menyedihkan ialah, ibu mentuanya meninggal dunia akibat pandemik itu.
Beliau menggambarkan kejadian yang menimpa beliau itu sebagai sesuatu yang sangat berat dan memeritkan untuk ditanggung.
“Covid-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada pukul) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari – saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis! Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.
“Saya dan keluarga diuji dengan virus Covid-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti Covid-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah.
“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,”
– Datuk Azizan Osman
Azizan yang juga pengasas syarikat RichWorks International menyatakan dia hampir menitiskan air mata ketika berkongsi perkara itu namun sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkannya lebih tabah.
“Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal… you tak boleh bernafas, you tak boleh tarik, you tak boleh hembus hanya gunakan mesin untuk terus bertahan dan melawan dengan otak, emosi dan diri.
“Kamu mahu hidup? Kamu mahu lawan? Itu la saatnya… Dan Insya-Allah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya. Peluang kedua ini bukan sekadar suka-suka.
“Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik,”
– Datuk Azizan Osman
Sementara itu, Azizan menyifatkan pandemik Covid-19 bukan sahaja telah menjejaskan kehidupan ramai orang dalam meneruskan kelangsungan hidup namun turut memberi kesan kepadanya.
“Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak, ada yang mencari rezeki di tempat sampah.
“Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan perniagaan. Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa.
“Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya,”
– Datuk Azizan Osman
Azizan yang kini telah sembuh daripada wabak tersebut bakal menganjurkan seminar secara maya pada hujung bulan ini untuk berkongsi pengalaman tersebut bersama orang ramai.