Hampir 4juta tonton ABPBH 2009
TV3 terus saji program anugerah terbaik!
Petaling Jaya, 5 April 2010 – TV3 meneruskan legasi menyajikan siaran berbentuk Anugerah untuk tatapan peminat industri hiburan tanahair. Tahun 2010 bermula dengan siaran langsung Anugerah Juara Lagu 24 (AJL24) memberi petanda bahawa industri hiburan tanahair masih tetap utuh dengan hampir 5juta penonton tersenarai dalam lipatan sejarah.
Selesai AJL24, berlangsung dengan penuh gilang-gemilang ialah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 edisi ke 23 (ABPBH 2009), yang harus diberi pujian terutama sekali kepada pihak penganjur Berita Harian serta barisan artis yang hadir memeriahkan satu malam penuh bersejarah. Artis yang tampil membuat persembahan juga harus diberi pujian dengan mempamerkan satu persembahan jitu pastinya sukar dilupakan. Ternyata, persembahan mantap dan bertenaga diselang selikan dengan penyampaian Anugerah setiap kategori memberikan kepuasan kepada penonton.
Setelah selesai AJL 24 dan ABPBH2009, kini tumpuan kepada Konsert Inspirasi edisi Muzik-Muzik 25tahun dan Anugerah Skrin 2010, TV3 akan terus menyajikan program-program istimewa untuk tatapan rakyat Malaysia umumnya dan penonton-penonton setia TV3 khususnya.
ABPBH 2009 juga, melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, siaran langsungnya telah menerima kadar penontonan (berpandukan kepada penonton berumur 4 tahun keatas) sebanyak 3,995 juta (20.5 TVR) atau 64.1% dari peratusan penonton yang menonton pada waktu itu (overnight rating). Kajian juga berpandukan masa dari jam 9.00malam hingga 11.59malam. Meskipun demikian, melalui kajian minit per minit, pada jam 10.40malam dan 10.50malam, ABPBH 2009 berjaya mencecah sehingga hampir 4.6juta penonton!
Malah ramai yang hadir menyaksikan ABPBH 2009 di Arena of Stars berpuas hati dengan menyifatkan ianya adalah penganjuran paling hebat setakat ini. Pendek kata, ianya hebat dan mantap melalui aspek persembahan produksi, penataan cahaya, sistem bunyi serta LED dan juga keputusan pemenangnya. Sememangnya, pemilihan dari peminat-peminat dalam meletakkan Dato Siti Nurhaliza sebagai Bintang Paling Popular juga sangat tepat.
ABPBH 2009 juga telah menghimpunkan ratusan selebriti ternama dan ianya juga dianggap satu rekod kehadiran artis paling ramai.
Perancangan hampir 6 bulan lamanya membuahkan hasil dan tanda syukur bahawa ABPBH 2009 mencapai taraf yang membanggakan. Segala penat lelah menghasilkan satu malam yang menghiburkan pastinya berbaloi dengan penerimaan peminat-peminat industri seni tanahair.
Semoga penganjuran ABPBH akan datang akan terus sukses.