Vokalisnya, Zarul berkata, penghasilan single Hilang bukan mahu mengaut keuntungan atau meraih populariti, sebaliknya ia dihasilkan bagi mengekalkan Umbrella dalam industri muzik. Dalam satu kenyataan media, Umbrella memberitahu, biarpun berasa amat teruja namun mereka berdebar-debar menantikan reaksi peminat-peminat Umbrella terhadap lagu ini, memandang sudah hampir 10 tahun mereka tidak merakamkan lagu.
“Kali terakhir kami menghasilkan single menerusi lagu Sayang Bersebab bersama Saari Amri pada 2011.
Dan selepas lebih 10 tahun tak rakam lagu baharu, kami gembira akhirnya diberi peluang untuk tampil kembali.
“Jika diikutkan, kami merancang mengeluarkan single selepas dua tahun saya keluar daripada program Gegar Vaganza, tetapi rezeki baru datang sekarang.
Alhamdulillah, single baharu pun bersesuaian dengan kami, jadi mengapa tidak kembali bersama Umbrella.
“Jujurnya, kami berempat bangga dapat mengekalkan Umbrella hingga hari ini,”
– Zarul
Zarul mengulas penghasilan lagu baharu Umbrella pada majlis sidang media Hilang di Hotel Summit, baru-baru ini.
Mengumumkan melalui media sosial pada 26 Ogos lalu, muzik video Hilang sudah ditonton lebih 100,000 dalam masa tiga hari sejak ia dimuat naik di saluran YouTube MVM Production.
“Jumlah 100,000 penonton dalam masa tiga hari untuk kumpulan lama seperti kami boleh dikatakan sebagai satu pencapaian baik, memandangkan kami bukannya penyanyi popular masa kini.
“Jadi, melihat sambutan berkenaan memberikan kami semangat untuk meneruskan perjuangan dengan pendengar zaman sekarang,”
– Umbrella
Masih mengekalkan irama 1990-an meskipun dihasilkan komposer muda, Shouk Azis bersama Bidin Alzaifa, Zabbe Zharin dan Riff, Zarul tidak menafikan penghasilan single Hilang untuk bersaing dengan penyanyi baharu.
“Melihat trend penyanyi muda masa kini yang menerima sambutan hebat dalam media sosial dengan lagu 1990-an, kami yakin single Hilang mampu bersaing dengan lagu balada lain.
“Lagipun, komposer single ini pernah menghasilkan lagu Achey berjudul Sakit yang berjaya trending, jadi kami percaya pertaruhan Umbrella dengan single Hilang ini boleh mengulangi kejayaan lagu Ramalanku Benar Belaka yang pernah menjadi fenonema hingga mengangkat populariti Umbrella satu ketika dahulu,”
– Umbrella
Memilih Tasik Biru Kundang, Rawang, Selangor sebagai lokasi utama, penggambaran video muzik Hilang disiapkan dalam masa satu hari sahaja.
Idea jalan cerita video muzik Hilang berkonsepkan naratif, diilhamkan oleh pengurus Umbrella, Dato’ Rizal, dan telah diarahkan sendiri oleh komposer Shouk Azis.
Selain menampilkan kesemua ahli kumpulan Umbrella, video muzik Hilang menggandingkan Zarul dengan seorang bintang muda, Natasha Elyzza, sebagai teraju utama.
Turut menyerikan video muzik Hilang adalah penampilan eksklusif pelakon versatil, Zulin Aziz, yang telah sudi bekerjasama dengan Umbrella sebagai tanda sokongan terhadap kumpulan kegemarannya.
Menurut Umbrella, mereka yakin dengan kekuatan melodi dan susunan muzik yang menggabungkan elemen 90-an dan moden, lagu Hilang mampu bersaing dengan lagu-lagu balada sedia ada malah berpotensi untuk mengulangi kejayaan lagu Ramalanku Benar Belaka, yang pernah menjadi satu fenomena yang mengangkat populariti Umbrella.
Single Hilang sudah pun berada di semua platform digital muzik sejak 26 Ogos lalu.
Ia dirakamkan pada hujung tahun dan dirancang untuk keluar sekitar Mac, tetapi tertunda disebabkan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain Zarul, kemunculan semula Umbrella ditunjangi anggota asalnya, Hafizz, Rizal dan Saiful. Bagaimanapun, seorang lagi anggota, Isnin tidak dapat menyertai kerana sibuk dengan komitmen lain. Umbrella mula bergerak aktif sejak 1995.