Akibat Keras Kepala, Farah Nabilah & Aliff Aziz Terpaksa Hidup Merempat
Adalah lumrah segilintir manusia yang akan mengeluh, merungut dan merintih apabila kehidupan mereka diuji. Namun, ada juga yang menyatakan bahawa sekiranya kita redha dan sabar menghadap ujian tersebut, nescaya Allah SWT akan tambah dengan nikmat-Nya. Pernahkah anda terfikir jika anda mampu untuk tabahkan diri dan mengharungi segala musibah yang menimpa diri?
Begitulah nasib Farah Nabilah dan Aliff Aziz yang berlakon sebagai Delisha dan Faiq, pasangan suami isteri dalam drama terbaharu slot Akasia – Halalkan Hati Yang Ku Curi. Mempunyai 27 episod, drama adaptasi novel karya Mia Kiff ini merupakan arahan saudara Hashim Rejab dibawah terbitan Country & Universal Sdn. Bhd.
Apabila ditanya tentang perasaan membawa watak heroin drama ini, pelakon jelita Farah Nabilah menyatakan bahawa beliau sebenarnya berasa teruja, “Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Aliff Aziz. Sejujurnya, saya berasa gementar sedikit pada mulanya kerana Aliff ialah seorang senior kepada saya dalam industri ini. Banyak ilmu lakonan yang telah saya pelajari daripadanya dan Alhamdullilah, watak Delisha berjaya “dihidupkan” atas bimbingan dan tips yang diberi.”
“Sebelum ini, saya pernah membintangi drama ‘Titian Cinta’ sebagai Aisy dan kedua-dua watak ini amat berbeza sekali. Untuk drama kali ini, Delisha mempunyai perwatakan sombong, sukakan kebebasan, kemewahan dan berseronok tanpa batas. Dia juga sangat keras kepala, dan saya pasti ramai yang akan menyampah dengan perangai Delisha. Namun, dalam hidup ini tiada seorang pun yang akan dikecualikan daripada ujian. Bermula dari episod 14 dan seterusnya, para penonton dapat menyaksikan bagaimana kehidupan Delisha dan suaminya Faiq berubah apabila ahli keluarga mereka menghilang secara tiba-tiba tanpa meninggalkan sebarang harta. Bagi saya, antara babak yang paling akan saya ingati adalah ketika Delisha terpaksa memakan sisa-sisa makanan dari tong sampah kerana dia dan suaminya telah jatuh miskin sehingga harus hidup dalam gelandangan,” ujar Farah lagi.
Turut menampilkan barisan pelakon kesukaan ramai seperti Shah Iskandar, Mimi Lana, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid, Azri Iskandar, Zarina Zainuddin serta ramai lagi, drama ini telah bermula sejak 23 Mei lalu dan akan bertemu dengan para penonton menerusi kaca tv pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 petang.
Halalkan Hati Yang Ku Curi berkisar tentang pasangan muda suami isteri yang sentiasa bersosial dan berhibur tanpa batas. Setelah sebulan tidak pulang, mereka terkejut bila mendapati rumah nenda telah dijual. Ahli keluarga mereka juga tidak dapat dihubungi. Syarikat pun dah ditukar milik pada orang lain. Mereka belajar erti susah, dan berdikari. Tanpa disangka, Delisha hamil. Keharmornian rumahtangga mereka pula diganggu oleh Zainal, bekas kekasih Delisha yang muncul semula.
Mampukah Delisha dan Faiq sama-sama menempuhi segala ujian yang datang? Adakah mereka masih berpeluang untuk bertemu dengan keluarga mereka yang hilang, dan apa pula reaksi mereka setelah melihat keadaan pasangan suami isteri itu?
Jangan lupa untuk menonton drama gandingan Farah Nabilah dan Aliff Aziz dalam Halalkan Hati Yang Ku Curi, pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 petang, hanya di TV3! Drama bersiri ini juga dapat disaksikan di portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.xtra.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram TV3 iaitu @tv3malaysia, dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.