in , ,

Hafiz Suip Luah Rasa Sedih Sebab Asyik Dituduh Ambil Bahan Terlarang

Hafiz Suip menerima pelbagai tohmahan negatif termasuklah dituduh mengambil bahan terlarang (dadah) gara-gara tubuh semakin kurus dan susut, dan wajah makin mencengkung. Ini penjelasan Hafiz Suip tentang isu ini.

Perubahan fizikal yang ketara apabila Hafiz Suip nampak makin kurus dan cengkung, mencetuskan pelbagai spekulasi hingga penyanyi ini akui rasa tertekan. Paling memberi kesan, penyanyi Awan Nano ini dituduh mengambil bahan terlarang hingga tubuh kurus melidi.

Hafiz Suip Anggap Lumrah Dunia Selebriti

Tidak cukup itu, tambah Hafiz, ibu bapanya turut diasak soalan sama hingga mengganggu ketenangan mereka. Enggan melayan spekulasi dan tohmahan negatif, Hafiz menganggap sudah lumrah selebriti sering menjadi perhatian masyarakat.

“Kalau benda tidak betul, kenapa perlu layan? Jika dilayan maknanya benda itu betullah. Kita tidak buat, kenapa perlu layan (gosip). Jika saya bercakap lebih nanti kedengaran seperti saya marah orang pula.

“Sebagai selebriti memang kita tidak boleh bercakap apa, hanya mampu terima dan kemam. Jika kita buka mulut nanti dipandang serong pula. Sebab ini lumrah hidup, seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan saya kita (selebriti) adalah milik netizen dan peminat.

“Saya kena terima hakikat tersebut dan orang di luar sana pun perlu menerima hakikat bahawa saya juga manusia biasa,” 

– Hafiz Suip

Mengakui Rasa Tertekan & Koyak

Hafiz mengakui dia cukup tertekan apabila tahap kesihatannya kerap menjadi persoalan orang ramai. Sebagai manusia biasa, Hafiz mengaku sering dihambat soalan mengenai keadaan fizikalnya membuat dirinya ‘koyak’.

“Saya tertekan ditanya berulang kali soalan mengenai perubahan fizikal. Malah, ada yang bertanya kepada ibu bapa saya. Bagi saya hendak bertanya pun, perlu ada caranya, bukan main tanya saja,” 

“Cuba bayangkan jika anda berada di tempat saya? Apa yang anda rasa apabila sering diasak soalan sama? Tentu tertekan, bukan? Begitulah juga dengan saya.

“Kadangkala saya tertanya, adakah mereka benar-benar ikhlas mengambil berat? Sekiranya ambil berat, kenapa tidak bertanya kepada saya secara peribadi?

“Jika kerap ditanya, kau sakit ke? Lama-lama kita akan betul-betul sakit kerana soalan yang sama diulang-ulang. Setiap apa yang keluar daripada mulut kita adalah satu doa. Jika benar-benar mengambil berat, kita akan jumpa atau hubungi terus orang itu secara peribadi.

“Janganlah terus membuat tuduhan seperti mengambil dadah, keluarga tidak beri makan dan pelbagai lagi tuduhan lain yang saya terima. Memanglah saya seorang artis, hakikatnya itu kerjaya saya sahaja. Saya pun manusia biasa, jika dilempar dengan perkara sebegini memang saya tertekan,” 

“Apabila kita tidak sakit, kita sering ditanya apakah kita sakit. Lama-kelamaan perkara itu boleh menjadi kenyataan kerana setiap kata-kata adalah doa,”

– Hafiz Suip

Tiada Sebarang Masalah Kesihatan

Sungguhpun tubuhnya dilihat semakin susut, Hafiz menjelaskan, dia berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Alhamdulillah, apa yang boleh dikatakan, saya sihat. Sihat dan sakit kita semua urusan Allah.

Saya telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan apabila ada orang kata saya adalah masalah perlu jumpa ustaz (rawatan islam) saya pergi semua, mana-mana sahaja.

– Hafiz Suip

Bertemu Ustaz Untuk Rawatan Alternatif

Berkongsi kesihatan dirinya, Hafiz mengaku semuanya baik selepas menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk secara alternatif iaitu bertemu ustaz.

“Saya boleh katakan saya sihat… Alhamdulillah sihat biarpun sakit semuanya ketentuan Allah.

“Bukan kata tidak buat pemeriksaan, sebaliknya rawatan moden dan alternatif, kedua-duanya sudah saya cuba dan setakat ini semuanya, okay.

“Tolonglah jangan hakimi saya lagi. Sebelum ini ada yang tuduh saya kurus kerana ambil dadah, keluarga tidak bagi makanlah dan bermacam-macam lagi,”

Hafiz berkata, sebagai insan yang memiliki hati dan perasaan, dia terguris apabila dilemparkan dengan tuduhan bukan-bukan.

“Namun, saya sedar, sebagai milik masyarakat, saya terima sahaja. Kalau buka mulut, tidak sedap pula jadinya.

“Seperti kata seorang teman seperjuangan, kita menjadi milik netizen dan masyarakat, suka atau tidak, kita perlu terima apa yang dilemparkan kepada kita.

“Tetapi saya harap masyarakat terima hakikat bahawa saya juga manusia biasa. Saya ada rasa tertekan, jadi harap faham situasi saya,” 

– Hafiz Suip

Lancar Single BERAKHIRLAH PENCARIANKU

Hafiz baru sahaja melancarkan single duet terbaharu bersama Ernie Zakri berjudul BERAKHIRLAH PENCARIANKU yang diangkat menjadi runut bunyi sebuah drama bersiri di Astro.

Terdahulu Hafiz telah berduet dengan ramai penyanyi popular antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Misha Omar, Faizal Tahir dan Adira.

“Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie. Ernie seorang guru vokal dan memiliki suara yang luar biasa. Kami telah cuba sehabis baik dan berharap peminat akan menerima lagu ini dengan hati yang terbuka,” 

– Hafiz Suip

Video muzik lirik lagu single Berakhirlah Pencarianku yang merupakan kerjasama antara, Nova Music dan Rocketfuel Entertainment itu boleh ditonton di YouTube.

Dalam pada itu, Hafiz meluahkan rasa senang dapat bekerjasama dengan Ernie menerusi projek lagu tersebut. Menganggap Ernie sebagai seorang penyanyi berbakat besar dan berkualiti, Hafiz merasakan ia adalah satu peluang menarik sementelah sangat mengagumi kehebatan vokal isteri penyanyi Syamel tersebut.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ibu Amy Search Meninggal Dunia di Usia 88 Tahun, Jenazah Selamat Dikebumikan

Penjenamaan Semula Platform Radio Media Prima, Berikut 4 Perubahan Drastik Dibuat