Budiey nak ucapkan sekalung tahniah kepada penyanyi popular, Hafiz Suip, 25 tahun, bakal mengadakan majlis pertunangan pada 27 Februari 2015 di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.
Hasil perkenalan dan jalinan hubungan cinta selama dua tahun, akhirnya artis tersebut mengumumkan berita gembira ini iaitu bakal mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan hatinya yang hanya dikenalkan sebagai Effy.
Menurut Hafiz, rombongan merisik telah diadakan pada 21 Disember 2014 dan ikat pertunangan telah ditetapkan selama setahun. Antara sebab lain bagi menunggu kekasihnya menamatkan pengajiannya.
Selamat bertunang buat Hafiz Suip. Nanti kita jumpa di Anugerah Juara Lagu Ke-29 ya.
Berita dipetik dari Harian Metro:
Penyanyi terkenal Hafiz Suip, 25, mengaku cincin yang tersarung di jari manis kirinya itu adalah tanda dia sudah merisik teman wanitanya pada 21 Disember lalu. Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, majlis pertunangan dengan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Effy’, 22, itu bakal berlangsung pada 27 Februari depan.
“Saya sebenarnya memang tiada niat pun untuk menyembunyikan perkara ini. Jadi, biarlah sekarang saya mengaku semuanya. Insya-Allah, saya dan Effy akan mengikat tali pertunangan pada 27 Februari ini di sebuah hotel di Kuching, Sarawak. Apapun, saya lebih dulu menghantar rombongan merisik ke rumah Effy yang juga orang Kuching, pada 21 Disember lalu.
“Tarikh 27 Februari itu menjadi pilihan kami kerana ia tarikh ulang tahun kelahiran saya. Jadi, mudahlah untuk saya mengingati hari bahagia itu,” katanya.
Terdahulu, Hafiz bersama beberapa rakannya seperti Aril, Hazama, Firman Bansir dan Faizul Sany hadir dalam majlis sidang media pelancaran Hafiz & Friends Showcase di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, petang tadi.
Enggan mendedahkan secara terperinci identiti bakal tunangnya itu, Hafiz berkata, tindakan itu dilakukan sebagai menghormati permintaan Effy serta keluarga mereka.
Hafiz berkata, mereka mungkin akan berkahwin pada pertengahan 2016 dan keputusan itu dibuat berikutan Effy masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.