Sukar mencari penyanyi gantian, Hael Husaini memutuskan mendendangkan sendiri lagunya, Sama Seperti Dulu pada pentas Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) ke-37, esok.
Hael yang pada mulanya tidak mahu beraksi atas faktor masalah kotak suara dan gangguan pernafasan berpanjangan selepas dijangkiti Covid-19, awal bulan ini, terpaksa mengharungi detik itu biarpun mungkin sukar.
“Ketika lagu saya diumumkan bersaing pada SFMM37, saya berbelah bahagi akibat masalah kotak suara dan gangguan pernafasan.
“Jika persembahan biasa, saya tidak kisah… Ini pertandingan besar. Saya meminta pendapat pihak produksi, penasihat vokal dan syarikat rakaman sebelum membuat keputusan.
“Saya tidak pernah tarik diri kerana mahu lagu ini bertanding biarpun didendangkan penyanyi gantian.
“Namun, saya gagal mendapatkan pengganti kerana kesuntukan masa. Selepas berfikir panjang, saya setuju beraksi semampu yang boleh asalkan lagu saya lepas ke SFMM37,”
– Hael Husaini
Hael yang mengungguli AJL32 dan AJL33 memohon doa peminat agar lagu Sama Seperti Dulu yang dicipta bersama Iqie Hugh dapat dipersembahkan dengan baik, esok.
Hael juga terbuka menerima komen peminat selepas melihat dirinya beraksi di pentas SFMM37.
“Saya tidak dapat mengawal komen dan pendapat penonton atas persembahan saya. Apa-apa pun, saya terima sahaja dan hormat pendapat semua orang.
“Saya hanya ingin memenuhi tanggungjawab sebagai penyanyi dan komposer lagu itu bersama Iqie… Doakan saya iya,”
– Hael Husaini
Sebanyak 30 lagu bersaing merebut 12 tempat pada AJL37.
Jangan terlepas untuk saksikan 30 buah lagu yang akan bersiaran langsung di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 37 (SFMM37) pada 25 dan 26 November ini, Jumaat dan Sabtu, jam 3 petang di TV3.