Menurut penyanyi yang juga komposer itu, dia sendiri tidak menjangkakan tiga lagu ciptaannya akan layak mara ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).
“Separuh akhir adalah medan tempur yang sangat menakutkan dan sebagai artis dan komposer, kita tak pernah tahu apa akan terjadi. Alhamdulillah, rezeki saya ada kali ini. Tugas saya sebagai komposer, penerbit dan bekerja di belakang tabir adalah untuk hasilkan lagu. Jadi, kalau ada rezeki untuk lagu ciptaan saya ke AJL, itu adalah atas hasil usaha artis itu sendiri dan bukan saya,” katanya.
Bagi penyanyi dan komposer, Ernie Zakri, dia kini mampu melawan rasa gemuruh untuk tampil membuat persembahan di pentas AJL.
“Selepas dua tahun terbabit dalam AJL, saya rasa ada sedikit pengalaman untuk melawan rasa gementar. Kali ini adalah kali pertama lagu ciptaan saya layak ke AJL35 dan manalah tahu, kalau-kalau dapat menang, Insyaallah.
“Harapan mesti ada, dan tentunya saya akan lakukan yang terbaik. Namun, semua keputusan terletak di tangan juri,” katanya.
Sementara itu, bagi penyanyi dan komposer, Aina Abdul pula, dia sentiasa meletakkan sasaran yang berpaksikan pentas AJL.
“Apabila menyertai pertandingan, fokus saya adalah untuk ke pentas akhir. Tapi, pada masa sama saya berpesan kepada diri sendiri supaya terima seadanya kalau tidak ada rezeki dan terus lakukan yang terbaik selepas itu. Apa pun, saya bersyukur kerana kali ini, saya diberi peluang sekali lagi apabila lagu Semalam layak ke pentas AJL35,” katanya.
Semalam, diumumkan 12 lagu yang layak mara ke AJL35 iaitu Belenggu Rindu nyanyian Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Semalam (Aina Abdul), Peluang Kedua (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Gundah (Ernie Zakri), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Gila (Kaka Azraff, Noki dan Tuju), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Eh (Zizi Kirana).
AJL35 akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil dan dijadualkan berlangsung pada 7 Februari tahun depan.
*Sumber: Harian Metro