Penyanyi serta pengacara asal Singapura berwajah ‘boyish’ yang merupakan juara Gegar Vaganza Musim Ke-6 (GV6), Hady Mirza, kembali menyemarakkan industri muzik Malaysia dengan single terbaharunya berjudul ‘Cinta Sampai Disini’ ciptaan komposer ternama Indonesia, Ade Govinda, David Sam & Irwan Sutanto yang pernah menghasilkan karya-karya ‘ngetop’ pbuat penyanyi-penyanyi terkenal dari seberang seperti Chakra Khan dan ramai lagi, diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
“Akhirnya penantian selama dua tahun berakhir dengan terciptanya single ini. Selepas tujuh bulan berada di Singapura dalam pangkuan keluarga tersayang, saya rasakan sudah masanya saya kembali dengan lagu terbaru khas buat peminat-peminat tersayang yang merindui saya.
“Sejurus menjuarai GV6 bersama Naqiu, saya mendapat tawaran menjadi hos program Dansa Dan Sing (DDS) oleh Astro, dan ketika itu masih lagi dalam fasa perbincangan dengan pihak Rocketfuel berkenaan lagu baru. Namun, ketika kesemuanya telah dipersetujui sekitar bulan Mac tahun 2020, pandemik COVID-19 melanda dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula diperkenalkan,” kata pemilik nama sebenar, Muhammad Mirzahady Amir ini.
Proses rakaman yang dilakukan dalam bulan November pada tahun lepas pula terpaksa ditunda kerana berlakunya PKP 2.0 dan keberadaan Hady di Singapura ketika itu, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu, beliau menggunakan peluang tersebut dengan penuh manfaat.
“Sewaktu di Singapura, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan keluarga kerana sejurus memenangi GV6, saya sibuk dengan program DDS, jadi jadual kerja saya agak padat dan tak berkesempatan menemui mereka.
Umum diketahui, Ade Govinda adalah di antara komposer terkenal Indonesia yang disegani dan kebanyakan karya-karya hit beliau dengan formula ‘malar segarnya’ telah dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi popular dari seberang.
“Idea single ini datangnya ketika saya membuat persembahan minggu ke-6 GV6 dengan membawakan lagu berentak RnB di mana ia mendapat sorakan dan pujian daripada pihak juri, terdetik di hati bahawa ingin tonjolkan genre yang tak pernah saya hasilkan sebelum ini,” kata Hady.
Lagu Cinta Sampai Disini menceritakan tentang kisah seorang lelaki yang telah dikecewakan dan ingin melupakan episod cinta yang gagal dalam hidupnya, lalu berhenti mengharap.
“Proses rakaman hanya mengambil masa selama sehari di Kuala Lumpur dengan material yang telah diberikan oleh Ade dari Jakarta, sangat mudah bekerja dengan beliau kerana beliau mendengar dan memahami apa yang saya mahukan dalam susunan lagu.
“Pada masa yang sama, saya juga harus berterima kasih kepada Bob Yusof kerana membimbing saya sewaktu rakaman, kerana beliau banyak membantu serta memberi tip penting dari segi nyanyian,” jelas Hady.
Lagu balada perlahan dengan nuansa RnB ini diperkuatkan lagi dengan ‘hook’ korusnya yang pasti menggamit emosi, manakala alunan melodinya yang mendayu dan terbuai apabila mendengarnya, ditambah pula dengan vokal Hady yang ‘bersih’, paduan ini nyata ada keserasiannya.
“Di samping itu, penghargaan harus diberikan juga kepada Encik Feros Sayna, kerana tanpa beliau, ini semua pasti tak akan terjadi. Beliau yang mendengar permintaan saya yang mahukan karya Ade Govinda, dan beliaulah yang bertanggungjawab menguruskannya dari mula sehingga akhir,” tambah Hady lagi.
Perjalanan seni Hady melonjak naik sejurus menjuarai Singapore Idol musim ke-2, dan tuah sekali lagi menyebelahi beliau ketika dinobatkan sebagai juara Asian Idol yang pertama dengan mengalahkan peserta-peserta lain daripada Malaysia, Indonesia, India, Filipina serta Vietnam, pelbagai anugerah telah diraihnya, namun selang beberapa tahun kemudian, nama Hady seakan menghilang dari radar.
Katanya, “Peminat-peminat saya sentiasa memberikan sokongan yang tak berbelah-bagi. Saya percaya mereka sudah pun lihat jatuh bangunnya saya selama ini, dan mereka seakan ‘rapat’ dengan saya kerana curahan kasih sayang yang mereka berikan sangat menakjubkan sehingga saya mampu berdiri semula.”
Encik Erick Yew, selaku Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Hady Mirza adalah di antara penyanyi berpengalaman yang berada di kelasnya tersendiri, dan bakat nyanyian yang dimilikinya tak dapat disangkal lagi.
“Saya percaya single baru yang dibawakannya ini mampu menambat hati pendengar muzik tempatan serta mengubati rindu peminat-peminatnya.
Sebagai seorang penghibur, Hady amat memberi perhatian terhadap setiap persembahannya, beliau cuba mendalami sesebuah lagu agar nyanyiannya sampai ke hati setiap pendengar, agar mereka dapat ‘rasa’ apa yang cuba disampaikannya.
“Lagu ini adalah hasil dari berbulan-bulan membuat kajian dan pilihan yang tepat, jadi saya pastikan ia betul-betul sesuai dengan citarasa pendengar dan peminat yang telah menunggu sekian lama.
“Apa yang saya harapkan adalah lagu Cinta Sampai Disini dapat diterima oleh semua, dan ini adalah permulaan baru dalam kerjaya nyanyian saya, kerana banyak lagi yang ingin saya hasilkan pada masa akan datang,” akhiri Hady.
Lagu Cinta Sampai Disini boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.
Tajuk : CINTA SAMPAI DISINI
Artis : Hady Mirza
Penulis Lirik : David Sam & Irwan Sutanto
Komposer : David Sam & Irwan Sutanto
Penerbit : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.
Segala yang kau pinta
Semua telah ku berikan
Mesti tak sekalipun
Kau Balas rinduku
Tangisku sembunyikan
Mungkin kau tak sedari
Haruskah aku menanti
Balas cintamu
Ingin ku berlari
Berlari melupakan
Melupakan semua pahit cerita ini
Ingin aku pergi
Pergi dan tak perlu kembali
Cinta
Cinta sudah ckup sampai disini
Dan kini ku sedari
Semua hanya ilusi
Tak lagi ku menanti
Balas cintamu
Ingin ku berlari
Berlari melupakan
Melupakan semua pahit cerita ini
Ingin aku pergi
Pergi dan tak perlu kembali
Cinta
Cinta sudah ckup sampai disini
Ingin ku berlari
Berlari melupakan
Melupakan semua pahit cerita ini
Ingin aku pergi
Pergi dan tak perlu kembali
Cinta
Cinta sudah ckup sampai disini
Cinta
Cinta sudah cukup sampai disini