Pelancaran kempen Rantaian Kasih ini disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer, diiringi Datin Sri Zarida Noordin selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB di bilik pameran HABIB yang terbesar di Pavilion Bukit Jalil. Berkeluasan 4,414 kaki persegi, bilik pameran ini memuatkan rakan-rakan media, tetamu-tetamu jemputan dan selebriti tanah air bagi memeriahkan suasana. Acara ini menampilkan koleksi hari raya HABIB yang terbaru serta penampilan barisan duta selebriti hari raya. Personaliti jemputan istimewa, Abu Shaef, seorang stylist selebriti Malaysia yang cukup popular turut menambah keterujaan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer berkata, “Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa di mana ramai di antara kita mengambil peluang untuk bersama keluarga. Dari ke terawih, ke bazar ramadan, bersahur dan ber’shopping’ semuanya indah dilakukan bersama. Di bilik pameran HABIB pula, pada bulan Ramadan kita dapat berkenalan dengan seisi keluarga pelanggan. Ibu, kakak, adik, mertua dan seluruh keluarga akan membeli belah bersama. Ini adalah suasana yang amat menyeronokkan kerana kami dapat memberikan pengalaman yang gembira untuk pelanggan, dan dari sini lah, tema Rantaian Kasih dikekalkan.
Apabila pelanggan memilih untuk membeli belah di HABIB, mereka telah meletakkan kepercayaan terhadap jenama HABIB dari segi kualiti barangan baik, koleksi yang terbaru dan moden serta perkhidmatan pelanggan yang memuaskan. Oleh itu, kami komited untuk sentiasa mengeluarkan pelbagai rekaan-rekaan yang terbaru dengan kualiti yang terbaik sekali bagi memenuhi citarasa setiap pelanggan kami. Pelanggan pada masa kini lebih berpengetahuan mengenai barangan kemas, kualiti barangan menjadi keutamaan dari harga yang ditawarkan. Ini mendorong kami untuk hanya mengeluarkan barangan yang terbaik kualitinya dengan rekaan yang moden dan kontemporari”.
Tahun ini, HABIB menambahkan kemeriahan hari raya dengan penggunaan warna-warna terang dan lebih ceria. Elemen songket diterapkan bagi menggabungkan konsep moden dan kontemporari. Songket Malaysia kaya dengan nilai sejarah dan warisan. Karya seni songket memerlukan kreativiti, kehalusan dan ketelitian untuk penghasilan songket yang bermutu dan eksklusif, selari dengan penghasilan barangan kemas. Sebagai jenama tempatan, HABIB merasa bangga dan terus menyokong serta mempromosikan warisan budaya Malaysia.
Kempen Rantaian Kasih membawakan 3 duta baharu; pelakon Anzalna Nasir, ibunya Puan Azlina serta Erin Adlina, usahawan muda yang berjaya dan juga seorang ‘influencer’ yang menjadi inspirasi ramai yang sangat meminati fesyen.
Koleksi hari raya dipersembahkan melalui pertunjukan fesyen yang memperagakan koleksi emas Oro Italia 916® dengan set rantai leher panjang, gelang tangan, cincin dan subang dari koleksi Amore, Grafetta dan banyak lagi. Seterusnya, koleksi eksklusif berlian, terdiri daripada rantai leher panjang dan kerongsang bermotif flora yang boleh didapati dalam rona emas emas kuning, emas putih dan emas ros.
Koleksi batu permata pelbagai warna seperti batu safir, delima, zamrud, amethyst, topaz dan citrine turut ditawarkan. Koleksi permata ini boleh dimiliki secara set cincin, loket, subang dan gelang tangan, sesuai digayakan pada hari lebaran. Model lelaki juga kelihatan segak menggayakan koleksi cincin lelaki dan butang baju melayu yang diikat dengan palladium perak bertatahkan berlian dan juga batu permata. HABIB juga menawarkan koleksi Oro Italia 916 untuk kanak-kanak dengan rekaan yang baharu.
Pada tahun ini, raya pastinya lebih meriah kerana kita sudah boleh pulang ke kampung halaman. Selain bersalam-salaman di pagi Syawal, pemberian duit raya adalah yang paling dinantikan oleh segenap golongan usia.
Oleh itu, HABIB menampilkan syiling wafer emas 999 edisi terhad dengan rekaan rumah tradisional Malaysia. Rekaan rumah tradisional ini bukan hanya mengingatkan kita pada kampung halaman tetapi boleh memperkenalkan asal usul rumah tradisional di Malaysia terutamanya kepada golongan muda.
Syiling wafer emas 999 ini dipakej sempurna dengan bungkusan yang diilhamkan dengan motif songket. Ianya sesuai dijadikan sebagai hadiah mahupun pengganti duit raya. Boleh didapati secara individu dengan harga RM118 mahupun dalam set berharga RM590 dengan lima rekaan rumah tradisional Malaysia:
- Rumah Perabung Lima: Rumah Tradisional Perabung Lima berasal daripada Negeri Kelantan Darul Naim. Bumbungnya yang unik, berbentuk piramid dengan lima bucu merupakan usul ianya dipanggil ‘Perabung Lima’.
- Rumah Kutai: Ikonik di Negeri Perak, Rumah Kutai dihiasi dengan ukiran unik pada bumbung, pintu dan kawasan lain di dalam rumah.
- Rumah Minangkabau: Merupakan sebuah lagenda di Negeri Sembilan. Rumah Minangkabau mempunyai bumbung unik berbentuk melengkung.
- Rumah Tradisional Melaka: Terkenal dengan ‘tangga batu’ yang ikonik, dihiasi warna-warna terang bermotifkan flora dan fauna.
- Rumah Serambi: Rumah Tradisional Melayu yang berasal daripada negeri sawah padi, Kedah dan mempunyai rekaan unik berukiran ‘bunga kerawang’.
Pada pelancaran kempen, Stylist selebriti Malaysia, Abu Shaef berkongsi tips-tips dan inspirasi untuk kelihatan bergaya di pagi Syawal.
Rantaian Kasih HABIB berlangsung di seluruh bilik pameran bermula 4 April sehingga 15 Mei 2022. Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi www.habibjewels.com dan ikuti media sosial HABIB di Instagram @habibjewelsofficial dan Facebook @HABIB.