Penyanyi wanita bersuara lantang, yang juga merupakan pelantun lagu ‘Karya’ yang sedang meningkat naik dan pernah dipuji bakatnya oleh penyanyi terkenal antarabangsa, Michael Bolton, dalam program pencarian bakat Asian Dream, Poova, kembali memeriahkan bulan Ramadan pada tahun ini dengan menyanyikan semula lagu ‘Bersama Di Hari Raya’ yang pernah dipopularkan oleh kumpulan adik-beradik terkenal 80-an, Helen dan Irene Savari iaitu Cenderawasih.
“Ini merupakan kali pertama Poova menyanyikan lagu Raya, sebenarnya sudah lama Poova teringin menyanyikan lagu sebegini bagi memeriahkan bulan puasa dan sebagai persediaan menyambut Hari Raya yang bakal diraikan kelak,” katanya.
Menurut pemenang trofi Artis Baru Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik di Anugerah Industri Muzik Ke-21 (AIM21) pada 2014, “Poova sengaja memilih Bersama Di Hari Raya kerana ingin mengembalikan nostalgia zaman-zaman dulu di mana penyanyi bukan Melayu turut menyanyikan lagu Raya, dan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana mencadangkan lagu ini.
“Selain itu, Poova turut menyanyikan lagu tersebut dengan cara yang tersendiri namun masih mengekalkan identiti asalnya,” tambahnya lagi.
Menurut Encik Joe Saiful, selaku Pengasas JoePRC International, “Saya nampak kekuatan vokal yang ada pada Poova sebagai seorang penyanyi yang versatil, jadi saya cadangkan mengapa tidak beliau menyanyikan lagu Bersama Di Hari Raya oleh kumpulan Cenderawasih, disamping mengimbau kenangan lalu di mana ramai penyanyi bukan Melayu yang menyanyikan lagu-lagu Raya.”
Akhiri Poova, “Diharapkan semua terhibur dengan dendangan Bersama Di Hari Raya yang Poova bawakan dan semoga kita dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.”